Public Investment naikkan TP Poh Huat kepada RM1.65 dengan pandangan 'outperform' | DagangNews Skip to main content

Public Investment naikkan TP Poh Huat kepada RM1.65 dengan pandangan 'outperform'

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 25 Mac - Public Investment Bank Research mengekalkan pandangan 'outperform' terhadap Poh Huat Resources Holdings Bhd. dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi pada RM1.65 berbanding RM1.60 sebelum ini selepas menyemak semula unjuran pendapatan. 

 

Firma itu menaikkan unjuran pendapatan bagi tahun kewangan 2022 (FY22) hingga FY24 sebanyak 4 hingga 7% memandangkan keuntungan juga dinaikkan berdasarkan kepada anggaran margin dan kos bahan mentah yang lebih rendah. 

 

"Kami masih positif terhadap prospek Poh Huat memandangkan permintaan perabot yang kukuh dari Amerika Syarikat (AS).

 

"Ini didorong oleh lencongan perdagangan dan juga aliran kerja jarak jauh yang semakin meningkat," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Dalam laporan kewangan yang diumumkan semalam, syarikat pengeluar perabot itu merekodkan untung bersih sebanyak RM15.35 juta bagi suku pertama berakhir 31 Januari 2022, meningkat 59.43% daripada RM9.63 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya dipacu margin keuntungan yang lebih baik.

 

Pendapatan bagi tempoh itu bagaimanapun susut 0.38% kepada RM182.96 juta daripada RM183.66 juta tempoh sama 2021.

 

Public Investment menjangkakan margin untung bersih Poh Huat kekal sekitar 8% pada masa akan datang dengan mengambil kira pelarasan harga jualan purata (ASP) setelah ia melepaskan kos kenaikan harga bahan mentah. 

 

Firma itu juga difahamkan bahawa penampan bahan mentah yang diperoleh sebelum ini akan dapat bertahan selama beberapa bulan lagi.

 

"Kumpulan juga kekal komited untuk menambah baik produktiviti dengan menggalakkan penggunaan automasi menerusi peruntukan RM10 juta bagi menaik taraf mesin. 

 

"Kami juga berpendapat, pengukuhan dolar AS turut memberi kelebihan kepada pengeksport perabot seperti Poh Huat. Ini membolehkan kami kekal positif terhadap prospek kumpulan," jelasnya.

 

Setakat 11.45 pagi, harga saham Poh Huat menokok 4 sen atau 2.88% kepada RM1.43 dengan 302,400 saham diniagakan. - DagangNews.com