PublicInvest jangka BP Plastics berdepan prospek jangka pendek mencabar kesan permintaan pembungkusan industri lemah | DagangNews Skip to main content

PublicInvest jangka BP Plastics berdepan prospek jangka pendek mencabar kesan permintaan pembungkusan industri lemah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Jun - Public Investment Bank (PublicInvest) menjangkakan BP Plastic Berhad berdepan prospek jangka pendek mencabar kesan daripada permintaan yang lemah untuk pembungkusan industri akibat ekonomi golbal yang lemah.

 

Bagaimanapun, firma itu berkata, terdapat tanda-tanda penambahbaikan beransur-ansur dalam persekitaran operasi pada suku tahun akan datang berikutan pembukaan semula China dengan jangkaan pemulihan rantaian bekalan di seluruh dunia.

 

Katanya, harga resin dan kadar pengangkutan kembali ke tahap pra-pandemik.

 

"Kadar tambang yang lebih rendah dan kadar pertukaran yang menggalakkan dijangka meningkatkan pasaran eksport kumpulan, khususnya Eropah, untuk mengatasi kelemahan dalam pasaran pembungkusan industri domestik.

 

"Seiring dengan tumpuan berterusan pada campuran produk yang lebih baik, rantaian bekalan, pengurusan kos, pengurusan berhemat dan pengembangan pasaran baharu, kami menjangkakan pendapatan akan kekal berdaya tahan pada suku akan datang," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu komited untuk melabur dalam teknologi baharu bagi mengembangkan bahagian pasarannya dan kira-kira RM30 juta diperuntukan untuk perbelanjaan modal pada FY23.

 

Kumpulan itu berjaya memasang dua unit mesin filem regangan 67 lapisan teknologi Nano (mesin Filem Regangan Cast kesembilan pada 2021 dan mesin Filem Regangan Cast ke-10 pada 2022).

 

Kedua-dua unit mesin filem regangan ditambah dengan teknologi Nano yang membolehkan kumpulan itu menawarkan inovasi dan pembezaan produk selanjutnya.

 

"Dengan dua unit tambahan mesin Blown Co-extrusion akan ditambah menjelang akhir 2023, kapasiti pengeluaran dijangka meningkat kepada 12,200 MT sebulan," katanya.

 

Firma itu berkata, kumpulan berada pada kedudukan yang baik untuk mengharungi ketidaktentuan ekonomi kerana disokong oleh struktur modal bebas hutangnya dengan jumlah tunai RM94 juta dan peningkatan dalam kecekapan dan produktivitinya yang timbul daripada barisan pengeluaran baharu.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'neutral' dengan harga sasaran (TP) RM1.46 sesaham. - DagangNews.com