Pulangan tunai untuk setiap transaksi Touch ‘n Go eWallet di Fave | DagangNews Skip to main content

Pulangan tunai untuk setiap transaksi Touch ‘n Go eWallet di Fave

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 21 Dis - Pengguna Fave kini boleh menggunakan Touch ‘n Go eWallet untuk membuat bayaran selain menikmati pelbagai faedah dalam bentuk pulangan tunai dan setem Goal Hunter bagi setiap transaksi.

 

Penggunaan Touch ‘n Go eWallet di aplikasi Fave membolehkan pengguna menikmati pulangan tunai sehingga RM8 untuk pembelian pertama dan akan menerima setem Goal Hunter bagi setiap RM10 yang dibelanjakan.

 

Ketua Pengarah Eksekutif Fave, Joel Noah berkata, pihaknya teruja untuk menjalinkan kerjasama dengan Touch ‘n Go eWallet dalam usaha untuk terus menawarkan kaedah yang lebih inovatif ketika membuat pembayaran.

 

Katanya, pihaknya juga mahu mendidik pengguna untuk memilih cara pembayaran tanpa sentuh bagi pengalaman membeli-belah yang lebih bijak dan memuaskan. 

 

"Menerusi kerjasama itu, pengguna dapat menggunakan ganjaran yang diberikan secara bersama ketika membuat bayaran di aplikasi Fave dengan menggunakan Touch ‘n Go eWallet," katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, TNG Digital Sdn. Bhd., Ignatius Ong berkata, dalam usaha meneruskan penggunakan Touch ‘n Go eWallet, pihaknya juga ingin menyediakan pengalaman yang lebih baik kepada pengguna dalam melakukan transaksi tanpa tunai.

 

kad
Joel Noah

 

"Walaupun dalam situasi pandemik ini, kami dapat menyaksikan trend yang menaik dalam penggunaan eWallet, lebih ramai pelanggan yang memilih untuk menikmati keselesaan membeli-belah secara dalam talian dari kediaman mereka," katanya.

 

Malaysia menyaksikan pertumbuhan lebih 60% dalam transaksi tanpa tunai melalui pembayaran digital dari 2019 hingga 2020. 

 

kad
Ignatius Ong

 

Industri e-pembayaran di Malaysia dijangka mencapai CAGR sebanyak 37% bagi 2021-2023 di mana penggunaannya didorong oleh pandemik dan sokongan kerajaan terhadap kaedah pembayaran tanpa tunai. - DagangNews.com