KUALA LUMPUR 21 Sept. - Mesyuarat Menteri Kuartet COVID-19 hari ini, yang turut melibatkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Kementerian Belia dan Sukan telah meluluskan untuk membuka tiga lagi destinasi gelembung perjalanan bermula 1 Oktober depan.
Ini melibatkan Pulau Tioman dan Genting Highlands di Pahang serta Melaka, menurut Menteri MOTAC, Datuk Seri Nancy Shukri.
Keputusan pembukaan destinasi itu bagaimanapun, kata Nancy, akan sekali lagi dibentangkan pada persidangan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan COVID-19 yang akan dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob esok.
“Jelas sekali apa yang kita lakukan di Langkawi dengan prosedur operasi standard (SOP) tertentu seperti saringan jangkitan COVID-19, menyumbangkan kepada prestasi yang begitu baik.
“...Dan kita menyaksikan prestasi Langkawi telah memberi satu sinar baharu kepada kita untuk membuka ruang kepada destinasi baharu. Kita telah diberi tempoh dua minggu supaya destinasi ini bersiap sedia untuk membuka dan beroperasi semula,” katanya dalam satu sidang media di Parlimen, hari ini.
Turut hadir, Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Hishammuddin Hussein serta Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Menjelang pembukaan destinasi tersebut pada 1 Oktober 2021, Nancy berkata, kerajaan akan memperhalusi SOP yang telah dibentangkan dan mungkin akan menamakan destinasi-destinasi pelancongan yang lain.
Dalam tempoh 16 hingga 19 September 2021, Langkawi menyaksikan 6,622 jumlah pelancong yang tiba di pulau itu menerusi perjalanan udara sementara, 3,483 kehadiran pelancong lagi melibatkan pengangkutan feri.
Sementara itu, Hishammuddin dalam satu kenyataan berbeza berkata, mesyuarat tersebut juga telah bersetuju untuk membenarkan pemilik premis perniagaan stesen minyak, restoran/kedai makan/kedai serbaneka beroperasi secara seragam di semua fasa dengan waktu beroperasi mulai 6 pagi hingga 12 malam kecuali bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Katanya, keputusan itu akan dibawa ke peringkat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik esok sebelum diputuskan tarikh berkuatkuasa. - DagangNews.com