Harga pasir April 2024 naik 13.8%, simen 2.3% - DOSM | DagangNews Skip to main content

Harga pasir April 2024 naik 13.8%, simen 2.3% - DOSM

DOSM menerbitkan Indeks Kos Bahan Binaan April 2024 yang menyaksikan indeks pasir naik. -Gambar NAIM AZIZ/DagangNews
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 8 Mei - Purata harga pasir di seluruh negara pada April 2024 meningkat 13.8% kepada RM48.27 satu tan metrik berbanding setahun lau (YoY) atau kenaikan 0.3% berbanding Mac 2024.

 

Memetik infografik Indeks Kos Bahan Binaaan Terpilih Malaysia yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), harga purata sekarung 50 kiogram simen (Ordinary Portland) pula bernilai RM23.01, meningkat 2.3% YoY.

 

 

Bahan binaan terpilih yang turut mencatatkan peningkatan dalam perbandingan tahun ke tahun ialah batu baur (+3.8%) dan bar bulat keluli lembut (+1.9%).

 

dosm
Infografik DOSM

 

Sementara itu, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, indeks harga seunit pasir merekodkan peningkatan antara 0.2 peratus hingga 2.6 peratus bagi kebanyakan kawasan pada April 2024 berbanding bulan lepas.

 

Katanya, peningkatan tertinggi di kawasan Pulau Pinang, Kedah & Perlis (2.6%), diikuti dengan kawasan Selangor, W.P. Kuala Lumpur, Melaka & Negeri Sembilan (1.2%) dan Terengganu & Kelantan (0.9%). 

 

"Indeks harga seunit batu baur juga mencatatkan peningkatan kecil iaitu antara 0.1 peratus hingga 0.8 peratus bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak," katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

uzir
DR MOHD UZIR MAHIDIN

 

Menurut Dr Mohd Uzir, perbandingan bulanan mencatatkan tiada perubahan dalam indeks harga seunit bagi besi bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. 

 

Katanya, terdapat sedikit penurunan dalam indeks harga bahan ini bagi kawasan Selangor, W.P. Kuala Lumpur, Melaka & Negeri Sembilan (-0.5%) dan Tawau (-0.4%). 

 

"Sementara itu, terdapat peningkatan kecil dalam indeks harga bahan ini di kawasan Pulau Pinang, Kedah & Perlis dan Kota Kinabalu (masing-masing 0.5 peratus).

 

"Perbandingan bulanan turut mencatatkan indeks seunit harga simen kekal tidak berubah bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak pada April 2024," jelasnya.

 

Namun begitu, kata beliau, terdapat sedikit peningkatan dalam indeks harga bahan bagi kawasan Selangor, W.P. Kuala Lumpur, Melaka & Negeri Sembilan (1.9%).

 

"Perbandingan tahunan untuk tempoh April 2023 dan April 2024 menunjukkan indeks harga seunit simen mencatatkan peningkatan antara 1.9 peratus hingga 7.1 peratus bagi hampir semua kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

 

"Peningkatan tertinggi bagi indeks harga seunit simen telah dicatatkan bagi kawasan Pulau Pinang, Kedah & Perlis (7.1%), diikuti oleh Terengganu & Kelantan (5.7%), Selangor, W.P Kuala Lumpur, Melaka & Negeri Sembilan (4.4%) dan Tawau (2.2%)," ujarnya.

 

Menurut Ketua Perangkawan itu, indeks harga seunit besi pula mencatatkan sedikit penurunan antara negatif 1.0 peratus hingga negatif 5.6 peratus bagi April 2024 berbanding bulan yang sama tahun lalu manakala purata harga simen (Ordinary Portland) kekal tidak berubah berbanding Mac 2024 dengan purata harga RM23.01 per 50 kg sekarung. 

 

"Manakala purata harga seunit besi yang terdiri daripada bar bulat keluli lembut dan Mycon 60 high tensile deformed bars merekodkan peningkatan kecil (0.5%) dengan purata harga RM3,702.88 bagi setiap tan metrik berbanding bulan sebelumnya (Mac 2024: RM3,683.51 per tan metrik)

 

"Bermula pada Januari 2024, Indeks Kos Bahan Binaan Bangunan (IKB) mengikut kategori bangunan dan kawasan adalah diasaskan semula kepada Januari 2023 sama dengan 100 (Januari 2023=100). 

 

"Perbandingan bulanan IKB (termasuk bar keluli) bagi semua kategori bangunan pada bulan April 2024 meningkat antara 0.1 peratus hingga 0.5 peratus bagi hampir semua kawasan di Semenanjung Malaysia," kata Ketua Pengarah DOSM itu.

 

Namun begitu, katanya, terdapat sedikit penurunan antara negatif 0.1 peratus hingga negatif 0.4 peratus bagi IKB (termasuk bar keluli) bagi hampir semua kategori bangunan di Terengganu & Kelantan.

 

IKB (termasuk bar keluli) di Sabah juga menunjukkan peningkatan kecil iaitu antara 0.2 peratus dan 0.3 peratus bagi hampir semua kategori bangunan di Kota Kinabalu. - DagangNews.com