Purata pendapatan isi rumah 2019 meningkat kepada RM7,901 | DagangNews Skip to main content

Purata pendapatan isi rumah 2019 meningkat kepada RM7,901

Rakyat Malaysia

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 13 Okt. - Purata pendapatan isi rumah di Malaysia mancatatkan peningkatan kepada RM7,901 pada tahun 2019.

Berdasarkan laporan terbaharu Khazanah Research Institute (KRI), Welfare in Malaysia Across Three Decades menyatakan, jumlah pendapatan penengah pula meningkat daripada RM1,801 kepada RM5,873.

"Purata pendapatan isi rumah Malaysia pada nilai benar meningkat lebih tiga kali ganda daripada RM2,580 pada tahun 1989 kepada RM7,901 pada 2019.

"Pendapatan isi rumah pada tahun 2019 merangkumi 45.7% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang merupakan satu peningkatan memberangsangkan berbanding 35.9% pada tahun 1989," jelas KRI dalam laporan yang disiarkan dalam laman web rasminya hari ini.

Pertumbuhan pendapatan ini telah menyumbang kepada peningkatan tahap perbelanjaan. 

Corak penggunaan berubah dengan peningkatan perbelanjaan bukan keperluan seperti barangan berkaitan komunikasi, rekreasi dan kebudayaan, dan juga makan di luar rumah, menandakan taraf hidup yang lebih baik. 

Mengulas lanjut, KRI turut menggariskan penurunan kadar kemiskinan mutlak kepada 5.6% pada 2019 berbanding 16.5% pada 1989.

Selain itu, trend jangka panjang jurang pendapatan yang diukur dengan pekali Gini turut mencatatkan penurunan kepada 0.407 berbanding 0.442 untuk tempoh sama.

Golongan Bumiputera mencatatkan pertumbuhan pendapatan yang lebih tinggi sekali gus` menyumbang kepada pengecilan jurang pendapatan antara kaum.

Tambah KRI, pembangunan ekonomi turut meningkatkan purata pendapatan dan penengah di semua negeri sepanjang tiga dekad yang lalu.

"Pencapaian positif ini telah dapat dicapai walaupun terdapat pelbagai cabaran, termasuklah cabaran yang berada di luar kawalan Malaysia, seperti Krisis Kewangan Asia (AFC) dan Krisis Kewangan Global (GFC) yang sedikit sebanyak telah menjejaskan kadar pertumbuhan ekonomi negara," ujar KRI lagi. - DagangNews.com