Pusat Sains & Kreativiti Terengganu susun pelbagai strategi kembangkan minat terhadap sains dan teknologi di Pantai Timur | DagangNews Skip to main content

Pusat Sains & Kreativiti Terengganu susun pelbagai strategi kembangkan minat terhadap sains dan teknologi di Pantai Timur

Replika zaman jurassic turut dipamerkan di Pusat Sains & Kreativiti Terengganu (PSKT) di Kampung Laut, Kuala Terengganu. - Gambar DagangNews2023
Oleh HUSNA ABDULLAH

KUALA TERENGGANU 18 Dis - Pusat Sains & Kreativiti Terengganu (PSKT) terus komited mengatur pelbagai strategi sepanjang tahun 2024 untuk menempa nama sebagai pusat sains terulung di Pantai Timur.

 

Bagi mencapai hasrat itu, pelbagai program telah diatur dengan lebih agresif selepas ini selaras visi penubuhannya menjadi sebuah pusat pembelajaran yang interaktif kepada rakyat di Terengganu, khususnya dan seluruh penduduk di Pantai Timur, amnya.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim berkata, sejak beroperasi dengan prasarana yang lebih lengkap dan canggih di Kampung Laut pada tahun 2016, jumlah pengunjung juga semakin meningkat setiap tahun.

 

Mohd Huzairil Nizam Ibrahim
             Mohd Huzairil Nizam Ibrahim

 


"Kami berusaha untuk memberi pendedahan tentang perkembangan sains, inovasi dan kreativiti secara komprehensif terutama kepada generasi muda.

 

"Selepas pandemik COVID-19, kini kami bangkit semula dan hasil usaha berterusan, PSKT teruja  dengan jumlah pengunjung yang telah pun mencapai 150,000 orang seperti sasaran yang ditetapkan pada Januari lalu.

 

"Kini, kami menyasarkan kedatangan 200,000 pengunjung pada tahun 2024 melalui pelbagai program yang lebih menarik, berinspirasikan sains dan teknologi," katanya ketika ditemui DagangNews.com baru-baru ini.


 

Pusat Sains & Kreativiti Terengganu
Kompleks Pusat Sains & Kreativiti Terengganu (PSKT) di Kampung Laut, dekat Kuala Terengganu.

 

Pusat Sains & Kreativiti Terengganu

 

Pusat Sains & Kreativiti Terengganu

 


PSKT adalah anak syarikat kerajaan negeri Terengganu yang berstatus 'Organisasi Berorientasikan Perkhidmatan' yang tidak berunsurkan keuntungan.

 

Ketika ini terdapat 10 galeri pameran di PSKT antaranya Galeri i-Wonder, 'Spark Your Creativity' (memberi penekanan terhadap konsep kitar semula untuk gaya hidup kreatif dan mesra alam), Galeri Bencana Alam, Galeri Dinasour Encounter, Galeri Dunia Galaksi dan Galeri Dome Show.

 

Tidak sekadar menanti kedatangan pengunjung ke PSKT semata-mata, sebaliknya mereka juga turun padang untuk menyantuni murid dan pelajar terhadap matapelajaran STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) terutama kepada sekolah yang terletak di pinggir bandar dan pedalaman.


 

Pusat Sains & Kreativiti Terengganu

 

Pusat Sains & Kreativiti Terengganu

 


Mengulas lanjut, Mohd Huzairil Nizam berkata, aktiviti terbaru yang sedang berlangsung di PSKT ketika ini ialah Festival Sains, Teknologi dan Inovasi (FeSTI) yang bertujuan membudayakan sains dalam kalangan masyarakat sekaligus memupuk minat pelajar mendalami ilmu pengetahuan dengan lebih efisyen.

 

Katanya, program yang berbentuk pelancongan pendidikan (edutourism) itu juga secara tidak langsung dapat memberi limpahan ekonomi kepada masyarakat di sekitar Terengganu terutama kepada pengusaha dalam industri kecil dan sederhana (IKS).


 

Pusat Sains & Kreativiti Terengganu

 

Pusat Sains & Kreativiti Terengganu

 


"Antara aktiviti yang diadakan adalah Pameran Kesenian; Demonstrasi Warisan; Permainan Tradisional; Persembahan Kebudayaan, Pertandingan Memasak dan akses masuk ke 10 galeri pameran sains yang ada di PSKT.

 

"Bertemakan Sains: Warisan Kesenian & Kebudayaan, festival kali ini berjaya menarik kedatangan lebih ramai pengunjung terutama di sekitar Pantai Timur untuk memanfaatkan masa cuti yang terluang bersama anak-anak mereka," katanya. - DagangNews.com