Pusat Vaksinasi Integrasi PLUS berjaya suntik lebih 16,000 vaksin dalam tempoh kurang 2 minggu | DagangNews Skip to main content

Pusat Vaksinasi Integrasi PLUS berjaya suntik lebih 16,000 vaksin dalam tempoh kurang 2 minggu

Khairy Jamaluddin (kanan) menanya seorang bakal penerima vaksin mengenai pengalamannya menggunakan aplikasi MySejahtera semasa lawatan beliau ke Persada IPVC di Petaling Jaya, hari ini.

 

 

PETALING JAYA 8 Ogos - PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Ibu Pejabat lebuh raya pertama yang menjadi Pusat Pemberian Vaksinasi Integrasi (PPVI) telah berjaya memberi vaksin kepada lebih 16,000 rakyat Malaysia dan warga asing dalam tempoh kurang daripada dua minggu.

 

Dalam lawatan kerjanya ke PPVI Persada PLUS, Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin, yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan gembira dengan kemajuan serta keberkesannya.

 

Beliau memuji kerjasama bersepadu antara PLUS, rakan penasihat perubatannya, Primer Cherang bersama ProtectHealth, yang merupakan pelaksana pengamal perubatan swasta dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK). Inisiatif PLUS ini juga disokong oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jawatankuasa Khas Jaminan Bekalan Vaksin (JKJAV).

 

Menurut Khairy, PLUS dalam kapasitinya sebagai Rakan Negara telah membuktikan komitment yang tinggi untuk menyokong matlamat Malaysia mencapai objektif perberian vaksin sebanyak mungkin. 

 

Sehingga semalam ujar beliau, Malaysia telah mencatatkan pencapaian hampir 24 juta orang di seluruh negara yang telah divaksinkan. Angka ini merangkumi mereka yang telah menerima dos vaksinasi pertama dan kedua mereka.

 

"Dan PLUS telah menyumbang kepada sebahagian daripada bilangan penerima yang semakin meningkat ini dan ia sememangnya menggalakkan prestasi pencapaian Pelan Pemulihan Negara yang lebih awal dari jangkaan. Saya memuji Datuk Azman dari PLUS dan pasukannya bersama Primer Cherang dalam menjayakan PPVI  ini dalam masa yang singkat," kata Khairy.

 

"Saya telah difahamkan bahawa kuantiti vaksin yang diberikan setiap hari adalah 2,000 dan saya percaya dengan kecekapan pengurusan yang ditunjukkan, kapasiti ini dapat digandakan dalam masa terdekat," katanya lagi.

 

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata "Demi memastikan kita mampu berdiri semula daripada wabak sebagai sebuah negara, kita perlu berupaya untuk melindungi rakyat daripada ancaman koronovirus ini melalui kaedah vaksinasi sepenuhnya.

 

"Dengan menawarkan ibu pejabat kami sebagai Pusat Pemberian Vaksin Integerasi, yang berpaksikan 
visi teras kami dapat sekurang-kurangnya memastikan semua orang pulang ke rumah dengan  selamat kepada orang tersayang.

 

"Atas kesedaran ini, kami berusaha untuk menggemblengkan segala sumber bagi menjayakan aspirasi ini. Semoga dengan usaha ini, perdagangan akan dapat diteruskan semula dan perniagaan kecil kemudiannya boleh ihidupkan kembali. Dan apabila hari ini berlaku negara kita boleh pulih dari segi ekonomi 
dan sosial, Insya-Allah, tidak lama lagi," kata beliau. - DagangNews.com