QGB jalin kerjasama strategik bagi melombong bijih besi di kawasan seluas 242.8 hektar di Bukit Besi | DagangNews Skip to main content

QGB jalin kerjasama strategik bagi melombong bijih besi di kawasan seluas 242.8 hektar di Bukit Besi

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Julai - Qew Group Berhad (QGB) menjalinkan kerjasama strategik bersama tiga syarikat perlombongan iaitu Cahaya Kurnia Sdn. Bhd., Imbasan Damai Sdn. Bhd. dan Prospect Global Resources Sdn. Bhd. bagi melombong bijih besi di kawasan seluas 600 ekar (242.81 hektar) di Bukit Besi, Terengganu.

 

QGB merancang hasil daripada perlombongan bijih besi ini adalah untuk pembinaan domestik seperti projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL). 

 

Pada masa sama, bijih yang dihasilkan akan dieksport bagi memenuhi permintaan pembeli dari dalam dan luar negara.

 

Pengerusi Eksekutif QGB, Datuk Dr. Muhamad Iqbal Mohamad berkata, projek itu dijangka melibatkan nilai pelaburan kos pengoperasian (GDC) mencecah hampir RM800 juta dalam tempoh lima tahun.

 

"Berdsarkan kedudukan terkini kewangan dan keyakinan yang berterusan dari pelabur terhadap jenama QEW, kos GDC ini mampu dibiayai dengan baik mengikut formula penstrukturan yang efisien," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Muhammad Iqbal berkata, projek itu mampu menjana pendapatan yang lumayan yang boleh dikongsi bersama pemegang saham, pemegang taruh dan rakan kongsi di QEW. 

 

Katanya, kerjasama dalam bidang perlombongan tersebut akan meningkatkan ekonomi domestik selain mwujudkan peluang pekerjaan baharu untuk penduduk setempat.

 

QGB sebelum ini melancarkan Program Perkongsian Strategik Korporat atau lebih dikenali sebagai Corporate Strategic Partnership (CSP) pada April 2022.

 

Antara projek yang berjaya diraih di bawah program CSP termasuk projek menaik taraf tanah and cerucuk besi di Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) dan projek Rangkaian Gentian di Putrajaya bernilai RM13 juta.

 

Sehingga kini, QGB mempunyai lima projek berimpak tinggi yang telah disenarai pendek dengan nilai mencecah lebih RM200 juta yang melibatkan tiga buah syarikat subsidiari kategori pembinaan kelas CIDB G7. - DagangNews.com