Qhazanah Sabah diberi hak eksklusif terajui infrastruktur telekomunikasi | DagangNews Skip to main content

Qhazanah Sabah diberi hak eksklusif terajui infrastruktur telekomunikasi

KOTA KINABALU 9 Ogos - Qhazanah Sabah melalui anak syarikatnya, Common Tower Technologies Sdn Bhd (CTTSB) diberi hak eksklusif untuk menerajui pembangunan infrastruktur telekomunikasi di Sabah.

 

Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor berkata dengan perkembangan itu kerajaan negeri menyasarkan untuk mengatasi masalah kekangan sambungan internet dengan kemudahan telekomunikasi yang sangat diperlukan terutama sekali di kawasan luar bandar.

 

"Melalui CTTSB, kerajaan negeri akan menaik taraf lebih daripada 2,000 menara telekomunikasi dan membangunkan sebanyak 400 yang baharu di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA)," katanya menerusi kenyataan hari ini, lapor Bernama.

 

Terdahulu Hajiji menyaksikan majlis menandatangani perjanjian mengenai perkara tersebut oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Safar Untong bagi pihak kerajaan negeri dan Pengerusi CTTSB Ghazallie Ansing di Pejabat Ketua Menteri Sabah, Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) di sini hari ini.

 

Turut menyaksikan adalah Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin serta Pengerusi Qhazanah Sabah Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak. Qhazanah Sabah yang diperbadankan pada 6 April 1995 merupakan cabang pelaburan milik Kerajaan Negeri Sabah.

 

CTTSB adalah antara pemilik dan pengendali menara bebas terbesar di Malaysia yang memiliki serta mengendalikan dan menguruskan 257 menara telekomunikasi di Sabah, selepas dilantik melaksanakan Projek TIME2 di Sabah sejak 2005. - DagangNews.com