KUALA LUMPUR 2 Mac - QL Resources Berhad dijangka menangguhkan pembukaan 300 cawangan Family Mart daripada FY2022 kepada 1QFY2023 akibat prosedur operasi standard (SOP) COVID-19.
Public Investment Bank Research berkata, sehingga kini kumpulan itu berjaya membuka 279 cawangan Family Mart selain memiliki 14 mesin layan diri selain sedang berusaha untuk membuka lebih banyak cawangan mini di dalam stesen minyak Shell.
Pada masa sama, QL Resources juga sedang dalam perbincangan untuk membuka cawangan di hospital, kondominium, bagunan pejabat dan beberapa lokasi yang dilihat bersesuaian.
"Sambutan terhadap Family Mart sejak pembukaan semula ekonomi sangat baik dan kami difahamkan mereka berjaya kembali pada tahap 70% ke 80% sebelum era pra-pandemik kerana masa operasi yang lebih singkat.
"Berdasarkan kepada jangkaan kami, Family Mart akan menyumbang antara RM400 juta ke RM500 juta kepada jumlah jualan kumpulan dan hasil pendapatan QL Resources pada FY2021 adalah sebanyak RM4.38 bilion.
"Bagaimanapun kami percaya, pembukaan lebih banyak cawangan baharu Family Mart akan menyuburkan perkembangan pendapatan kumpulan itu pada masa akan datang," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata, kenaikan harga kos bahan makanan akan memberi kesan negatif terhadap operasi terakan QL Resources.
Katanya, harga jagung dan kacang soya meningkat sebanyak 26% dan 27% namun percaya segmen itu sedang dalam fasa pemulihan untuk harga telur dan pemberian subsidi oleh kerajaan dilihat membantu menampung sebahagian daripada kenaikan harga kons makanan.
"Kami mengekalkan saranan 'outperform' untuk saham-saham QL Resources pada harga sasaran RM5.30 sesaham," katanya. - DagangNews.com