Qwork sasar kembangkan operasi di Asia Tenggara, penuhi keperluan PKS dan syarikat pemula | DagangNews Skip to main content

Qwork sasar kembangkan operasi di Asia Tenggara, penuhi keperluan PKS dan syarikat pemula

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 15 Nov - Qwork menyasarkan untuk mengembangkan lagi perkhidmatannya ke Asia Tenggara, serta bekerjasama dengan rakan strategik di Thailand, Vietnam, dan Filipina bagi memenuhi keperluan tenaga kerja perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat permulaan dalam pasaran masing-masing. 

 

Platform itu berkata, dengan sokongan dana yang dikumpulkan daripada Artem Ventures, pihaknya berharap untuk memulakan operasinya di Vietnam, dan juga Thailand pada tahun hadapan dan menggandakan bilangan penyertaan pekerja gig serta jumlah jam latihan peningkatan kemahiran menjelang suku ke-4 2024. 

 

"Qwork turut berharap untuk meluaskan lagi jangkauannya dalam pasaran yang sedia ada di Malaysia, Indonesia, dan Singapura - melangkaui kawasan bandar, bagi memberi manfaat kepada pemilik perniagaan yang juga berada di kawasan luar bandar. 

 

"Ini akan dapat meningkatkan ekonomi tempatan dan kehidupan masyarakat di seluruh negara itu," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini. 

 

Terdahulu platform tempatan yang menawarkan rumusan moden kepada majikan untuk mencari pekerja fleksi atau pekerja gig itu mengumumkan pelaburan daripada Artem Ventures.  

 

Pelaburan tersebut akan membolehkan syarikat itu mengembangkan penawarannya kepada lebih banyak industri yang ingin mengoptimumkan tenaga kerja menerusi penggunaan pekerja gig yang berkemahiran. 

 

Artem Ventures merupakan sebuah syarikat pengurusan dana modal urus niaga (VCMC) yang ketika ini menguruskan dana sulung RM45 juta di Malaysia yang dilabur ke dalam syarikat teknologi kewangan (fintech) dan teknologi insurans (insurtech) peringkat awal. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Qwork, Muna Munirah berkata, pengalaman beliau dalam bidang pengeluaran memberikan gambaran tentang betapa payahnya untuk mengupah pekerja fleksi yang berkemahiran bagi sesuatu projek. 

 

 

qwork
Muna Munirah

 

 

Katanya, situasi sama turut dihadapi syarikat-syarikat dalam pelbagai industri, yang mana setiap projek memerlukan pekerja yang mempunyai gabungan pengalaman dan kemahiran tertentu. 

 

"Namun, tidak semua orang mempunyai masa serta sumber untuk mencari dan mengupah bakat yang diperlukan. Inilah isu yang saya dan kakak saya, Dr Mimi Aminah, harap dapat ditangani dengan Qwork. 

 

"Kami mahu merapatkan jurang antara individu berbakat dan bakal majikan di samping memastikan pekerja gig dibayar dengan sewajarnya dan pelanggan kami dapat menjimatkan kos pengambilan," katanya.

 

 

qwork

 

 

Sepanjang tempoh 6 tahun lalu, Qwork berjaya mengendalikan lebih 100,000 pekerja gig untuk pelbagai syarikat di Asia Tenggara.  Antara syarikat-syarikat yang giat melanggan pekerja gig dari Qwork termasuk Zalora, Busybees Asia, Dynapack Asia, J&T Express, dan Jakel. 

 

Qwork juga telah membayar upah melebihi AS$3 juta (RM10 juta) kepada pekerja gig dan memberikan penjimatan kos operasi sehingga 60% kepada syarikat-syarikat itu.

 

Pada tahun ini sahaja, Qwork menghubungkan lebih daripada 15,000 pekerja gig dengan syarikat-syarikat di seluruh rantau ini yang telah mencatatkan hampir 2 juta jam bekerja. Qwork juga meluangkan lebih daripada 280,000 jam bekerja untuk aktiviti peningkatan kemahiran pekerja gignya. - DagangNews.com