KUALA LUMPUR 1 Mac - T7 Global Berhad mengumumkan pelantikan Datuk Seri Rahim Ismail sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif kumpulan itu berkuat kuasa 1 Mac 2023.
Beliau yang memiliki pengalaman lebih 39 tahun dalam industri minyak dan gas merupakan bekas penasihat kanan di Repsol Oil and Gas Malaysia Ltd (sebelum ini dikenali sebagai TalismanEnergy).
Beliau memainkan peranan penting dalam melaksanakan peranan strategik dan penasihat utama dalam menyokong pertumbuhan dan kemampanan perniagaan Repsol di Malaysia dan di peringkat global.
Rahim memulakan kariernya pada Januari 1982 bersama Malayan Banking Berhad sebelum menyertai Petroliam Nasional Berhad (Petronas) pada Ogos yahun yang sama.
"Sepanjang 27 tahun bersama Petronas beliau memegang pelbagai peranan pengurusan dan kepimpinan dengan penglibatan dalam sektor korporat, huluan dan hiliran, belanjawan, perancangan, pengurusan rantaian bekalan, pengurusan dan pembangunan usahawan, pendidikan, sumber manusia, komersial hiliran serta jualan dan pemasaran.
"Beliau juga memainkan peranan penting dalam mewakili industri untuk merangka strategi dan dasar melalui pelbagai inisiatif kerajaan dibawah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan," kata kumpulan itu dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas mengenai pelantikan itu, Pengerusi Kumpulan T7 Global, Datuk Seri Dr. Nik Norzul Thani N. Hassan Thani berkata, pihaknya mengalu-alukan kehadirannya dan percaya kehadiran beliau merupakan tambahan yang hebat kepada kumpulan itu.
"Memandangkan pengalaman dan pengetahuannya yang luas dalam industri minyak dan gas, kami yakin beliau akan dapat memperkayakan komposisi lembaga pengarah dengan memberikan pengawasan yang berpengalaman ke atas strategi perniagaan kumpulan pada masa hadapan," katanya. - DagangNews.com