KUALA LUMPUR 15 Nov - Citaglobal Bhd memeterai perjanjian rangka kerja bersama Pelabuhan Baku di Azerbaijan bagi menubuhkan fasiliti solar berkapasiti 5.4 mega-watt (MW).
Ini merupakan projek tenaga boleh diperbaharui (RE) pertama di negara itu yang menggabungkan kuasa solar dengan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) yang bersepadu untuk sektor komersial.
Projek tenaga hijau ini akan diterajui oleh Tiza Green Energy LLC, sebuah usaha sama yang dibentuk oleh Tiza Global Azerbaijan LLC dan Citaglobal Renewable Energy Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Citaglobal.
Projek ini disokong oleh Perjanjian Pembelian Tenaga (power purchase agreement) selama 21 tahun yang menjamin tarif tetap sepanjang tempoh tersebut, menyediakan kos tenaga yang stabil untuk Pelabuhan Baku dan melindungi daripada kenaikan harga grid pada masa hadapan.
Melalui integrasi lancar kuasa solar, BESS dan sambungan kepada grid pengedaran, projek ini menetapkan penanda aras untuk rumusan tenaga mampan yang boleh diterapkan di seluruh negara bagi menyokong keselamatan dan matlamat kelestarian tenaga.
Inisiatif ini dijangka menjimatkan kos dalam jangka panjang dan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau secara signifikan, apabila dilaksanakan sepenuhnya, 100% penggunaan elektrik tahunan pelabuhan ini akan dijana daripada tenaga hijau.
Fasa 1 projek melibatkan pemasangan solar PV bumbung, sebelum diperluaskan kepada sistem berskala besar di atas tanah.
Rumusan MYBESS yang dibangunkan oleh Citaglobal akan digunakan untuk fasa-fasa seterusnya, membolehkan pelabuhan menggunakan hampir 100% tenaga solar yang dihasilkan pada kadar yang berdaya saing.
Integrasi MYBESS itu membolehkan penyimpanan lebihan tenaga untuk digunakan apabila permintaan elektrik di pelabuhan melebihi bekalan dari sistem solar, sekali gus mengurangkan pergantungan kepada kuasa grid.
Pelabuhan Baku meliputi kawasan seluas 400 hektar, terletak 70km dari ibu negara, Baku. Ia merupakan hab pengangkutan dan logistik utama di Eurasia dan bahagian penting dalam Laluan Pengangkutan Antarabangsa Trans-Kaspia.
Pelabuhan ini mempunyai 13 dermaga, termasuk terminal Ro-Ro, terminal feri, dan terminal kargo am. Kini dalam peringkat kedua pembinaannya, kapasiti tahunan pelabuhan dijangka meningkat kepada 25 juta tan dan 500,000 TEU (unit kontena bersamaan dua puluh kaki).
Presiden Tiza Green Energy LLC dan Pengerusi Eksekutif serta Presiden Citaglobal Bhd, Tan Sri Dr. Norza Zakaria berkata, rumusan yang kami laksanakan bukan sahaja memaksimumkan penggunaan tenaga bersih di tapak, tetapi juga pada tarif yang berdaya saing, mencerminkan komitmen bersama kami kepada rumusan tenaga mampan dan kos berkesan.
Ketua Pengarah Pelabuhan Baku, Dr. Taleh Ziyadov berkata, sasarannya adalah untuk mencapai sifar pelepasan menjelang 2035, dan beliau yakin bahawa kerjasama dengan Tiza Green Energy akan meletakkan mereka sebagai peneraju dalam amalan mampan, dengan mengurangkan pelepasan Skop 2 secara signifikan.
“Integrasi teknologi solar dan BESS menawarkan keupayaan pengurusan tenaga yang belum pernah dicapai sebelum ini, memperkukuh komitmen kami terhadap penjagaan ekonomi dan alam sekitar,” katanya.- DagangNews.com