Untung bersih Betamek meningkat 84.5% kepada RM10.46 juta pada 2QFY25 | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Betamek meningkat 84.5% kepada RM10.46 juta pada 2QFY25

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Nov - Betamek Berhad mencatatkan peningkatan untung bersih sebanyak 84.5% kepada RM10.46 juta pada suku kedua berakhir 30 September 2024 (2QFY25) berbanding RM5.67 juta bagi suku sama pada tahun sebelumnya.

 

Kenaikan untung bersih itu disokong pengurusan kos syarikat yang berkesan, dan keuntungan sekali sahaja daripada penyatuan sebanyak RM6.32 juta berikutan pengambilalihan Sanshin (Malaysia) Sdn Bhd yang mengukuhkan prestasi kewangan kumpulan pada suku tersebut.

 

Bagi suku berkenaan, Betamek mencatatkan hasil sebanyak RM56.3 juta, berbanding RM63.4 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas mencerminkan permintaan industri keseluruhan yang lebih lemah.

 

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 September 2024 (1HFY25), Betamek mencatatkan hasil sebanyak RM106.3juta, selaras dengan RM106.8 juta yang dicapai dalam tempoh yang sama tahun lepas.

 

Pengarah Eksekutif Betamek, Muhammad Fauzi Abd Ghani berkata, keputusan kukuh 2QFY25 adalah bukti usaha strategi kumpulan dalam mengembangkan portfolio produk dan meningkatkan kecekapan operasi.

 

Katanya, keuntungan penyatuan daripada pengambilalihan SMSB menggariskan fokus kumpulan kepada pertumbuhan melalui perkongsian strategik dan kepelbagaian pasaran.

 

"Kami berada pada kedudukan yang baik untuk memacu peningkatan kecekapan selanjutnya, inovasi digital dan meningkatkan daya saing kami dalam sektor elektronik automotif.

 

"Permintaan berterusan dalam sektor automotif, terutamanya pasaran kenderaan elektrik (EV) yang semakin berkembang, sejajar dengan hala tuju strategik Betamek.

 

"Sokongan kerajaan terhadap inisiatif transformasi digital kami menyerlahkan komitmen mereka untuk menggalakkan kemajuan teknologi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Persatuan Automotif Malaysia (MAA) juga telah menyemak semula unjuran jualan kenderaan 2024 kepada 765,000 unit, meningkat daripada anggaran sebelumnya sebanyak 740,000 unit.

 

Menjelang akhir sembilan bulan pertama 2024, 594,037 kenderaan telah dijual, menandakan peningkatan 3.86% berbanding tempoh yang sama pada 2023, terutamanya didorong oleh pertumbuhan 6.03% dalam segmen kenderaan penumpang.

 

Perodua menjual 260,361 unit dalam sembilan bulan pertama 2024, peningkatan 11.63% daripada 233,227 unit dalam tempoh yang sama 2023, meningkatkan bahagian pasarannya daripada 40.78% kepada 43.83% daripada jumlah volum industri. - DagangNews.com