Peningkatan tempahan industri semikonduktor, HLIB optimis terhadap prospek UWC | DagangNews Skip to main content

Peningkatan tempahan industri semikonduktor, HLIB optimis terhadap prospek UWC

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Dis - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research optimis terhadap prospek UWC Bhd selepas menerima peningkatan tempahan daripada industri semikonduktor pada suku pertama berakhir 31 Oktober 2024 (1QFY25).

 

Katanya, kumpulan itu akan terus memberi tumpuan kepada projek baharu selain mendapatkan lebih ramai pelanggan serta menyusun strategi pertumbuhan jangka panjang bagi mengoptimumkan peluang perniagaan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu sedang mengembangkan kapasitinya untuk pembuatan semikonduktor dan projek kenderaan elektrik (EV).

 

"Kumpulan itu menyasarkan untuk menyelesaikan fasa pertama bilik bersih untuk perniagaan semikonduktor bahagian hadapan menjelang Januari 2025 dan penyiapan sepenuhnya bangunan bilik bersih tiga tingkat menjelang akhir Mac 2025.

 

"Mereka juga telah memenangi pelbagai projek dan pelanggan sudah mula membuat pesanan. Kumpulan itu telah menerokai peralatan rangkaian 5G, penguji cip berkaitan kenderaan autonomi dan penguji bateri EV.

 

"Segmen EV telah menunjukkan pertumbuhan positif kepada kumpulan," katanya dalam satu nota kajian.

 

Terdahulu, untung bersih kumpulan itu meningkat 49.2% kepada RM6.5 juta pada 1QFY25 berbanding RM4.35 juta setahun lalu dipacu peningkatan tempahan daripada industri semikonduktor.

 

Sumbangan daripada anak syarikatnya yang diambil alih, MCE Technologies Sdn Bhd (MCET) dan MCT (Thailand) Co Ltd, juga menambah pendapatan.

 

Hasil suku tahunan hampir dua kali ganda kepada RM89.42 juta, daripada RM45.46 juta setahun lalu.

 

Firma penyelidika itu mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM3.37 sesaham. - DagangNews.com