Bilangan siswazah dalam pasaran buruh meningkat 4.2% kepada 5.74 juta orang pada 2023 - DOSM | DagangNews Skip to main content

Bilangan siswazah dalam pasaran buruh meningkat 4.2% kepada 5.74 juta orang pada 2023 - DOSM

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Dis - Malaysia mencatatkan 5.74 juta siswazah dalam pasaran buruh, meningkat 4.2% dengan lebih dua pertiga bekerja dalam kategori mahir pada 2023, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam atu laporan. 

 

Laporan itu membentangkan statistik berkenaan kedudukan siswazah di dalam pasaran buruh mengikut pecahan demografi dan sosioekonomi pada 2023. 

 

Siswazah dalam laporan ini ditakrifkan sebagai individu yang memperoleh sijil tertinggi daripada universiti, kolej, politeknik, badan yang diiktiraf atau setaraf, dengan tempoh pengajian sekurang-kurangnya dua tahun.

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, persekitaran ekonomi dan pasaran buruh yang positif sepanjang tahun 2023 telah menyumbang kepada peningkatan bilangan siswazah yang kini merangkumi 5.74 juta orang atau 22.3% daripada penduduk umur bekerja 15 tahun dan ke atas. 

 

dosm

 

Katanya, daripada jumlah itu, 4.92 juta merupakan siswazah yang aktif dalam tenaga buruh, seterusnya mencatatkan Kadar Penyertaan Tenaga Buruh Siswazah (KPTBS) yang tinggi pada kadar 85.7%. 

 

Pemegang ijazah mewakili 54.4% (3.12 juta orang), manakala pemegang diploma menyumbang 45.6% (2.62 juta orang).

"Berdasarkan perbandingan tahun ke tahun, bilangan siswazah ijazah dalam tenaga buruh meningkat sebanyak 5.4%, manakala pemegang diploma menunjukkan peningkatan 3.5%, didorong peluang pekerjaan yang lebih baik dan pengangguran yang lebih rendah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

dosm

 

Mohd Uzir berkata, siswazah bekerja meningkat sebanyak 4.9% kepada 4.76 juta orang berbanding 4.53 juta orang pada 2022 seiring dengan pertumbuhan pasaran buruh Malaysia yang lebih baik. 

 

Beliau berkata, kira-kira dua pertiga atau 67.6% siswazah bekerja dalam kategori pekerjaan Mahir iaitu seramai 3.21 juta orang, dengan sebahagian besarnya bekerja sebagai Profesional (57.4%), diikuti oleh Juruteknik dan Profesional Bersekutu (24.2%) dan Pengurus (18.5%). 

 

"Siswazah bekerja dalam kategori separuh mahir pula menyumbang 31.3% atau 1.49 juta orang daripada jumlah siswazah bekerja, manakala mereka yang bekerja dalam kategori berkemahiran rendah hanya mewakili 1.1% (51,800 orang).

 

dosm

 

"Siswazah bekerja dalam kategori mahir dan separuh mahir masing-masing merekodkan pertumbuhan positif sebanyak 7.8% dan 0.2% berbanding 2022, manakala kategori berkemahiran rendah mencatatkan penurunan sebanyak 22%," katanya.

 

Mengulas lanjut, beliau berkata, dari segi taraf pekerjaan bagi siswazah bekerja, kategori Pekerja merupakan penyumbang tertinggi dengan komposisi 87.4% mencapai 4.16 juta orang pada 2023, meningkat 4.1%  tahun ke tahun. 

 

Katanya, kategori majikan yang mewakili 5.3% menunjukkan peningkatan ketara sebanyak 9.3%, berjumlah 251,400 orang. Begitu juga, bilangan siswazah bagi kategori Bekerja sendiri yang menyumbang 6.5% daripada siswazah bekerja, meningkat sebanyak 13.5% kepada 310,700 orang pada 2023. 

 

dosm

 

"Sementara itu, pekerja keluarga tanpa gaji menyumbang baki 0.8% dengan merekodkan 37,600 orang pada 2023," katanya.

 

Mohd Uzir Mahidin berkata, dari segi sektor ekonomi, sebahagian besar siswazah bekerja dalam sektor perkhidmatan, yang menyumbang 77.5% daripada jumlah siswazah bekerja, merekodkan seramai 3.69 juta orang. 

 

Ini diikuti sektor pembuatan (13.4%) dengan 637,900 orang dan sektor pembinaan (6.3%) dengan 301,100 orang. Selebihnya sektor pertanian (1.7%) dan sektor perlombongan & pengkuarian (1.0%) masing-masing mencatatkan 83,000 orang dan 46,800 orang. - DagangNews.com