KUALA LUMPUR 24 Dis - Agensi pusat yang memajukan ekosistem halal Malaysia, Halal Development Corporation Berhad (HDC), mengumumkan penandatanganan Perjanjian Kerjasama dengan Pasar Venture Sdn Bhd (Pasar Venture), sebuah platform pengurusan rantaian bekalan yang disokong oleh teknologi kewangan (fintech).
Perkongsian itu bertujuan menyediakan rumusan berdaya cipta kepada industri halal, terutamanya yang memberi manfaat kepada pengendali restoran dan pembekal bahan-bahan halal.
Kerjasama tersebut akan memperkenalkan alat dan sumber canggih dari Pasar.ai kepada sektor-sektor penting berkenaan, membolehkan mereka berkembang maju dalam landskap digital.
Sebagai sebahagian daripada perkongsian strategik, Pasar.ai akan disepadukan ke dalam Platform Halal Terpadu (HIP) HDC, mewujudkan hubungan penting antara pihak berkepentingan dan pengeluar dalam sektor halal, serta pengendali halal yang disahkan di Malaysia.
Penyepaduan itu direka untuk meningkatkan kecekapan operasi dan hubungan, membolehkan pengurusan digital yang lancar untuk pengendali halal.
Pengerusi HDC, Khairul Azwan Harun berkata, perkongsian tersebut selaras dengan Teras Strategik 2 dalam Pelan Induk Industri Halal 2030, yang mewujudkan peluang pasaran baharu untuk produk dan perkhidmatan halal Malaysia.
"Dengan menyepadukan Pasar.ai bersama HIP, kami bukan sahaja meningkatkan kecekapan operasi, tetapi juga memperluaskan akses pasaran untuk tawaran halal Malaysia.
"Kami teruja bekerjasama dengan HDC untuk meningkatkan kecekapan operasi bagi pelanggan kami dalam industri halal. Ekosistem Pasar.ai merangkumi sistem POS, RMS, CRM dan HRM yang menyediakan alat kukuh untuk perniagaan bagi meningkatkan kawalan dan ketelusan dalam operasi mereka," katanya dalam satu kenyataan.
Perjanjian kerjasama tersebut dimeterai baru-baru ini oleh Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Hairol Ariffein Sahari dan CEO Pasar Venture Sdn Bhd, Ra Wha Hyun, sambil disaksikan Khairul Azwan dan Pengarah Eksekutif Pasar Venture, Datin Lim Ai Ling.
Perkongsian berkenaan menandakan peranan kritikal HDC dalam memupuk ekosistem halal yang kukuh, kerana ia bekerjasama dengan Pasar Venture untuk menyediakan rumusan terkemuka dalam industri yang mudah diakses sambil memastikan pematuhan kepada piawaian garis panduan halal. - DagangNews.com