KUALA LUMPUR 24 Dis - Kemasukan Coastal Contracts Bhd ke dalam sektor tenaga boleh diperbaharui (RE) adalah tepat pada masanya kerana ia sejajar dengan trajektori pertumbuhan industri, disokong oleh inisiatif teguh yang diperkenalkan oleh kerajaan, kata RHB Research.
Anak syarikatnya, Coastal Solar and Pleasant Engineering, bersama Bina HT sebagai sebahagian daripada konsortium, telah memperima surat tawaran daripada Suruhanjaya Tenaga Sabah.
Perjanjian pembelian tenaga solar dengan Sabah Electricity akan berlangsung selama 25 tahun, dengan tarikh operasi komersial dijadualkan antara 1 April 2027 dan 30 Jun 2027.
RHB Research optimis mengenai projek solar sulung Coastal Contracts , menandakan kemasukannya ke dalam sektor tenaga boleh diperbaharui (RE) dan mempelbagaikan aliran pendapatannya.
"Langkah strategik ke arah tenaga hijau ini sejajar dengan prospek pertumbuhan sektor yang menjanjikan, disokong oleh inisiatif seperti skim Bekalan Tenaga Boleh Diperbaharui Korporat dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional Malaysia (NETR)," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.
Walaupun butiran PPA masih belum dimuktamadkan, RHB Research berkata, pihak pengurusan menganggarkan kadar pulangan dalaman projek itu sekitar 10% sehingga 12%.
Katanya, IRR yang lebih tinggi boleh dikaitkan dengan tarif yang berpotensi lebih baik, memandangkan Sabah dari segi sejarahnya menawarkan kadar yang lebih tinggi di bawah projek ladang solar berskala besar 2 (LSS2).
"Keperluan capex suria am adalah sekitar RM2 juta-RM2.5 juta/MWdc, diterjemahkan kepada jumlah pelaburan kira-kira RM45 juta sehinga RM56 juta untuk loji 15MWac dan pembiayaan dijangka distrukturkan dengan nisbah hutang kepada ekuiti 80:20.
"Berdasarkan parameter ini, kami menganggarkan projek itu menjana pendapatan RM2 juta sehingga RM3 juta setahun," katanya.
RHB Research mengekalkan anggaran pendapatannya terhadap Coastal Contracts kerana sumbangan daripada projek itu hanya dijangka mulai 2027.
"Kami melihat ini secara positif apabila Coastal Contracts menerokai tenaga hijau sambil mempelbagaikan aliran pendapatannya, yang selaras dengan strategi kumpulan.
"Oleh itu, kami mengekalkan saranan "beli" dan menaikkan harga sasaran (TP) sebanyak 10% kepada RM1.67," katanya. - DagangNews.com