KUALA LUMPUR 24 Dis - Penyedia perkhidmatan korporat, Amicorp Group menafikan dakwaan ia sengaja memudahkan transaksi penipuan lebih daripada RM31.43 bilion yang berkaitan dengan penyalahgunaan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Menurut syarikat itu, pihaknya akan mempertahankan diri dan menentang tuntutan yang dibuat oleh 1MDB di mahkamah berikutan tuntutan undang-undang lebih daripada RM4.48 bilion yang difailkan oleh dana kekayaan negara Malaysia tersebut di Kepulauan Virgin British.
"Dana 1MDB yang disalahgunakan itu 'diperolehi dengan cara salah oleh atau untuk manfaat' pegawai kanan kerajaan Malaysia dan pengurusan tertinggi dana kekayaan negara Emiriah Arab Bersatu (UAE)," kata Amicorp dalam satu kenyataan yang dikeluarkan lewat malam tadi.
1MDB memfailkan tuntutan terhadap Amicorp dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, mendakwa mereka memainkan peranan penting dalam membolehkan dana kekayaan negara itu ditipu antara tahun 2009 dan 2014.
Tuntutan berkenaan adalah antara yang terbesar difailkan oleh 1MDB, berkaitan skandal rasuah bernilai berbilion dolar.
1MDB mendakwa, Amicorp yang berpusat di Hong Kong telah mencipta dan menguruskan satu konspirasi rumit yang terdiri daripada lapisan syarikat palsu, transaksi palsu dan struktur kewangan penipuan yang menyembunyikan asal-usul dan destinasi sebenar dana tersebut.
Penyiasat Malaysia dan Amerika Syarikat sebelum ini menganggarkan sebanyak RM20.20 bilion telah diselewengkan daripada 1MDB selepas penubuhannya pada 2009, yang melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kakitangan Goldman Sachs dan pegawai tinggi di tempat lain. - DagangNews.com