Keputusan kerajaan mendapatkan helikopter untuk pasukan tentera dan agensi keselamatan lain secara sewa akhirnya dimuktamadkan apabila perjanjian perolehan tersebut dimeterai.
Menerusi sewaan, kerajaan dapat memiliki helikopter lebih cepat dalam jumlah besar berbanding kaedah beli yang mana penghantaran pesawat memakan masa 3 hingga 4 tahun secara berperingkat-peringkat.
Khamis lalu, kontrak berkenaan ditanda tangani antara kerajaan Malaysia dengan Weststar Aviation Services Sdn. Bhd. (Westar Aviation) di Putrajaya.
Sebanyak 28 buah helikopter ini disewa untuk kegunaan kementerian dan agensi kerajaan melalui kaedah pajakan aset secara penswastaan.
Daripada jumlah itu sebanyak 12 buah untuk TUDM, TLDM (2), Polis Diraja Malaysia (7), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (4), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (2) dan Jabatan Perdana Menteri (1).
Kontrak bernilai RM16.5 bilion untuk tempoh 15 tahun ini meliputi kos penggunaan, penyelenggaraan dan latihan.
Selepas tamat kontrak, kerajaan diberi pilihan membeli pesawat-pesawat berkenaan pada harga RM1.
Perjanjian ini menandakan kesungguhan kerajaan dalam memperkukuh keupayaan operasi dan logistik udara agensi-agensi terlibat khususnya Angkatan Tentera Malaysia ATM (ATM).
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa kontrak sewaan helikopter tersebut diberikan kepada Weststar Aviation.
Pemilihan itu mengambil kira kapasiti modal yang diperlukan sebanyak RM122 juta serta memiliki lesen Sijil Operator Udara dan 135 juruterbang bertauliah.
Syarikat juga perlu memastikan bahawa helikopter mengekalkan tahap kesediaan dan operasi sekurang-kurangnya 85%.
Pendekatan penswastaan melalui mekanisme pajakan ini dilihat sebagai langkah strategik yang bukan sahaja dapat meningkatkan keberkesanan perolehan, malah memastikan pengurusan sumber lebih cekap.
Ini terutamanya dalam melaksanakan tugas-tugas kritikal yang memerlukan sokongan logistik udara.
Kaedah ini juga dianggap inovatif kerana berpotensi untuk menjimatkan kos jangka panjang tanpa menjejaskan kualiti mahupun fungsi aset yang diperoleh.
Bagi TUDM misalnya, penerimaan 12 buah helikopter baharu dipercayai jenis Leonardo AW149 nanti dapat meringankan tugas yang digalas helikopter EC725AP.
Disebabkan kekurangan aset maka 12 buah helikopter EC725AP ini telah digunakan secara maksimum untuk pelbagai kegunaan termasuklah melakukan penerbangan ihsan menghantar pesakit.
EC725AP yang sepatutnya melaksanakan tugas mencari dan menyelamat tempur terpaksa memikul tugasan lain seperti menghantar bekalan, misi semasa bencana dan menerbangkan orang kenamaan.
Kerjasama rapat Westar Aviation dengan TUDM dilihat dalam pengoperasian 4 buah helikopter Leonardo AW139 secara sewaan yang ditempatkan di Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang.
Sejak diterima pada tahun 2022, pesawat-pesawat ini telah merekodkan kira-kira 8,000 jam penerbangan secara keseluruhan.
Selain pesawat ini, TUDM sejak 2015 menyewa 6 buah helikopter H120/EC120 untuk tujuan latihan di Kolej Tentera Udara, Alor Setar, Kedah.
Pesawat-pesawat ini dibekalkan oleh syarikat Gading Kasturi dengan kontrak bernilai RM120 juta secara Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI).
Selain menerima 4 helikopter secara sewaan, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia pula bakal memiliki 4 buah helikopter lagi yang dibeli tahun lalu.
Ini dapat menggandakan keupayaan udara agensi tersebut terutamanya bagi pengawasan maritim di Sabah dan Sarawak.
Bagaimana pun, keputusan kerajaan mendapatkan helikopter secara sewaan ini masih dipertikaikan pelbagai pihak, rata-ratanya membandingkan kos yang dibayar berbanding jika pesawat dibeli.
Mereka membandingkan Filipina yang membelanjakan RM2.7 bilion untuk membeli 32 buah helikopter S-70i Black Hawk buatan Poland pada tahun 2022.
Helikopter tersebut diterima secara berperingkat-peringkat mulai tahun ini sehingga tahun hadapan.
Secara kasar, kos pembelian ini jauh lebih rendah berbanding sewaan kerajaan Malaysia, namun ia belum lagi mengambil kira kos-kos lain seperti penyelenggaraan, alat ganti, latihan, prasarana dan sumber manusia.
Justeru, kaedah sewaan masih mempunyai kelebihan dan pada masa sama dapat menyokong kemajuan syarikat penerbangan tempatan. - DagangNews.com