KUALA LUMPUR 15 Nov - Pengukuhan ekonomi pada suku ketiga 2024 meletakkan Malaysia pada landasan baik untuk mencatatkan pertumbuhan antara 4.8% hingga 5.3% pada tahun ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, prestasi yang menggalakkan itu telah mencambah kadar pertumbuhan ekonomi negara bagi sembilan bulan pertama 2024 kepada 5.2% berbanding 3.8% pada tempoh sama tahun lalu.
Katanya, pertumbuhan yang menjangkau 5% pada sembilan bulan pertama 2024 mencerminkan keyakinan perniagaan dan rakyat terhadap ekonomi Malaysia serta pengurusan ekonomi kerajaan.
"Kerajaan Madani bertekad memperhebat pelaksanaan agenda reformasi bagi memperkukuhkan tatakelola baik dan melaksanakan pembaharuan ekonomi seperti digariskan di bawah kerangka Ekonomi Madani.
"Tumpuan penuh kepada agenda reformasi dapat dilihat melalui Belanjawan 2025, apabila kerajaan giat memperkukuh pengurusan fiskal melalui pengurangan defisit fiskal, peluasan asas hasil dan perbelanjaan berhemat melalui penyasaran subsidi petrol.
"Belanjawan 2025 mengimbangi antara keperluan tanggungjawab fiskal di samping terus melaksanakan belanjawan dan pelaburan awam yang mengembang, demi menyokong momentum pertumbuhan yang jitu bagi tahun mendatang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Perdana Menteri berkata, walaupun dunia masih penuh dengan ketidaktentuan, asas ekonomi negara kian kukuh. Malaysia yang kini berada pada landasan kukuh serta berkemampuan untuk melabuhkan tirai tahun 2024 dengan kadar pertumbuhan memberangsangkan dengan menggerakkan agenda reformasi ekonomi bagi meningkatkan tahap kerencaman dan martabat ekonomi negara.
Beliau berkata, kerajaan yakin, terdapat peluang keemasan di kala zaman penuh cabaran itu dengan Malaysia yang kian membangkit ini berpijak di atas landasan baik untuk memanfaatkan fenomena peralihan kepada strategi Plus One (kepelbagaian operasi ke negara-negara lain seperti di Asia Tenggara) yang kian meningkat.
"Ikhtiar kerajaan untuk mengukuhkan serta memperbaharui kerjasama-kerjasama bilateral dan multilateral, sambil mengekalkan kedudukan berkecuali, bakal membuahkan hasil melalui lonjakan perdagangan serta perluasan pasaran eksport,” katanya.
Terdahlu, Belanjawan 2025 yang memperuntukkan sebanyak RM421 bilion ini adalah bertujuan memacu reformasi fiskal dan ekonomi, mengutamakan pelaburan bermutu tinggi yang berupaya mencipta pekerjaan berpendapatan lebih tinggi serta menambah baik perkhidmatan dan prasarana awam untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat.
Perbelanjaan pembangunan sebanyak RM86 bilion juga ditambah dengan projek-projek inisiatif pembiayaan swasta bernilai RM9 bilion serta pelaburan langsung domestik oleh Syarikat-syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) berjumlah RM25 bilion.
Secara keseluruhan, pelaburan awam untuk pembangunan tahun 2025 adalah berjumlah RM120 bilion.
Kerajaan juga mengambil pendekatan tegas dan beransur-ansur untuk mengurangkan defisit fiskal daripada 5% pada tahun 2023 kepada 4.3% tahun ini, sebelum menggiatkan lagi usaha kepada 3.8% pada tahun 2025.- DagangNews.com