Raih kontrak di Mexico, bawa titik perubahan kepada Coastal Contracts | DagangNews Skip to main content

Raih kontrak di Mexico, bawa titik perubahan kepada Coastal Contracts

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 25 Jan - AmInvestment Bank Research menjangkakan pendapatan Coastal Contracts Bhd. akan mengalami perubahan yang radikal apabila memasuki suku kedua tahun kewangan 2022 berikutan usaha sama bagi perkhidmatan kejuruteraan, perolehan, pembinaan, operasi dan penyelenggaraan (EPCOM) di 2 loji gas di Mexico. 

 

Dengan menganggap margin sebelum cukai sebanyak 15% bagi kos pembinaan RM1 bilion untuk EMC Papan dan RM100 juta bagi kemudahan Perdiz, firma itu menganggarkan sumbangan usaha sama itu adalah lebih 2 kali ganda daripada pendapatan tahun kewangan 2021 (FY21).

 

"Dalam jangka masa panjang, prospek kumpulan juga akan lebih baik kerana kami difahamkan kumpulan sedang mempertimbangkan untuk meneroka perniagaan charter seperti kapal penyimpanan dan pemindahan terapung (FSO), fasiliti pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FPSO) dan unit pengeluaran luar pesisir mudah alih (MOPU).

 

"Ini memandangkan Coastal Contracts sudah mewujudkan rangkaian pemasaran global yang kukuh," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Rangkaian global kumpulan yang luas dalam penjualan kapal telah membenarkan Coastal menandatangani sewaan bot bare pertamanya untuk Agosto 12, jack-up dengan unit perkhidmatan mampatan gas untuk Petroleos Mexicanos (Pemex) di medan Canterell, Teluk Mexico, bermula Ogos 2016 selama 8 tahun dengan 4 pilihan lanjutan tahunan.

 

Satu kejayaan telah dicapai kumpulan pada tahun lalu yang menyaksikannya memperoleh 50% pegangan ekuiti dalam 2 projek usaha sama dengan kumpulan syarikat Nuvoil untuk perkhidmatan EPCOM di Mexico dengan nilai gabungan berjumlah RM4.8 bilion.

 

Kontrak pertama bernilai RM259 juta meliputi 32 bulan untuk Loji Perdiz gas berkapasiti 180mmscfd di Pemex, medan Ixachi, Tierra Blanca, Veracruz, Mexico. Loji ini mula beroperasi pada Julai 2021.

 

Seterusnya pada 27 Disember 2021, Coastal Contracts memeterai perjanjian perkhidmatan dengan syarikat usaha sama bagi menyediakan transformatif EPCOM bernilai RM4.5 bilion untuk loji EMC Papan dan infrastruktur berkaitan bagi tempoh lebih 10 tahun, yang merupakan kontrak terbesar diraih kumpulan setakat ini. Projek ini akan memperbesarkan lagi kapasiti loji sebanyak 300mmscfd kepada 480mmscfd. 

 

Loji baharu ini dijangka siap menjelang suku pertama tahun kewangan 2023 dengan tempoh pembinaan selama 250 hari manakala kontrak penyelenggaraan akan meliputi lebih 10 tahun.

 

Menurut AmInvestment, apabila medan ini mencapai pengeluaran puncak, ia dijangka muncul sebagai medan di darat dengan pengeluaran tertinggi di Mexico. 

 

"Dalam hal ini, kami memahami bahawa terdapat beberapa projek dalam perancangan untuk mengembangkan lagi kapasiti kemudahan gas darat di rantau ini," jelasnya.

 

Firma itu percaya bahawa trajektori pendapatan kumpulan telah mencapai titik perubahan dengan bermulanya usaha sama Mexico ini, yang menawarkan beberapa prospek projek bernilai sama, jika tidak, lebih besar di negara ini.

 

Setakat 10.48 pagi ini, harga saham Coastal Contracts menokok 1 sen atau 0.65% kepada RM1.55 dengan 467,100 saham diniagakan. - DagangNews.com