Rainforest Challenge Grand Final berlangsung di Perak, tampilkan 300 peserta termasuk antarabangsa | DagangNews Skip to main content

Rainforest Challenge Grand Final berlangsung di Perak, tampilkan 300 peserta termasuk antarabangsa

RFC tersenarai antara sukan permotoran paling lasak di dunia.
Oleh Zaki Salleh

IPOH 30 Nov - Acara sukan permotoran ekstrem, Rainforest Challenge (RFC) Grand Final 2023 akan berlangsung di Perak yang mengumpulkan lebih 300 peserta tempatan dan antarabangsa.

 

Antaranya dari Rusia, Mongolia, China, Korea Selatan, Amerika Syarikat, Vietnam, India, Sri Lanka, Thailand, Jepun, Itali, Filipina serta Indonesia 

 

RFC menduduki tempat ketiga daripada 10 pertandingan permotoran paling lasak di dunia sebaris dengan Dakar Rally, BAJA Race, Le Mans 24hr Race dan Isle of Man Race.

 

Pengasas dan Pengarah Rainforest Challenge & Rainforest Global Series, Luis J.A. Wee berkata, setiap tahun RFC Grand Final dianjurkan di negeri-negeri terpilih semasa musim hujan monsun pada hujung tahun. 

 

RFC
Pelepasan sebahagian daripada peserta RFC Grand Final 2023 di Putrajaya pada 7 November lalu.

 

Menurut beliau, setakat ini acara tersebut berjaya menarik pasukan, penggemar dan pengunjung dari 25 negara asing selain tempatan.

 

“Tahun ini RFC Grand Final akan diadakan di negeri Perak mulai 1 Disember dengan menggunakan laluan-laluan hutan dan kawasan pedalaman di Sungai Siput, Kuala Kangsar, Lenggong, Gerik sebelum kembali ke Ipoh untuk majlis penutup pada 11 Disember.

 

“Perak dipilih untuk menganjurkan acara itu kerana memiliki pelbagai tarikan pelancongan serta flora dan fauna yang sesuai untuk aktiviti luar seperti sukan permotoran pacuan empat roda,” katanya.

 

Majlis Flag-Off akan diadakan di Bulatan Sultan Azlan Shah di Meru di sini pada Sabtu manakala majlis penutup pula pada 11 Disember di Hotel Casuarina.

 

RFC
Antara kenderaan peserta yang akan digunakan dalam pertandingan tersebut.

 

RFC

 

RFC yang memasuki penganjuran kali ke-26 bertujuan mempromosikan Malaysia sebagai hab pelancongan sukan terutama aktiviti permotoran lasak bertaraf antarabangsa.

 

Kali pertama RFC Grand Final diadakan di Perak ialah pada 2004.

 

Jelas Luis lagi, penganjuran RFC Grand Final diharap dapat menonjolkan Malaysia dan negeri Perak khususnya kepada peserta, pengunjung dan pelancong sebagai satu destinasi pelancongan yang paling menarik dan unik.

 

RFC
Para petugas RFC dibantu kakitangan Jabatan Hutan Negeri Perak semasa melakukan tinjauan kawasan untuk pertandingan.

 

“Sepanjang acara ini nanti turut diadakan program sampingan di Bulatan Sultan Azlan Shah termasuk persembahan pentas, jualan dan pertunjukan kenderaan pacuan empat roda.

 

“Justeru, orang ramai dipelawa hadir untuk melihat sendiri bagaimana RFC Grand Final diadakan termasuklah dalam kalangan belia yang meminati sukan permotoran ekstrem,” ujarnya.- DagangNews.com