PADA tahun 2022 ini saya ingin melancarkan kempen memberi hadiah sekurang-kurangnya sebuah buku kepada perpustakaan sekolah sebagai seorang alumni atau bekas pelajar sekolah.
Untuk menghadiahkan, sedeqah, infaq kepada anak-anak atau adik-adik dengan bajet perpustakaan yang terus kurang dengan epidemik COVID-19, banjir besar dan bertambah pengangguran atau dibuang kerja.
Tahun 2021 penuh peristiwa yang menyedihkan dan diharap tahun 2022 akan berubah ke arah lebih baik. Pertamanya dalam bidang pendidikan untuk kembali ke sekolah setelah PdPR yang memeningkan dan keributan antara guru dan pelajar.
Pendidikan adalah asas untuk mendapatkan ilmu dan pengetahuan yang banyak merubah arah kehidupan.
Saya sebagai pelajar dari kampung dapat hidup sebagai professional yang berjaya hingga ke luar negeri iaitu Arab Saudi dan UAE selama 18 tahun setelah belajar di New Zealand selama 5 tahun. Semuanya hasil membaca buku-buku selain belajar subjek yang ditetapkan.
Saya mula membaca sewaktu usia empat tahun lebih diajar oleh arwah abah saya yang merupakan ulama dan tok kadi selain mengaji.
Dengan mempelajari tulisan jawi dan mula membaca akhbar Utusan Melayu, majalah Dian dan buku-buku agama serta sastera yang lebih tinggi dari usia saya. Sehingga belajar di universiti dan bekerja, perpustakaan tetap menjadi tumpuan selain kedai-kedai buku di serata tempat.
Tetapi adakah pelajar dididik dan diasuh dengan membaca selain untuk mendapatkan A dalam mata pelajaran?
Menurut kajian profil membaca yang dijalankan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) pada 2005 mendapati rakyat Malaysia hanya membaca dua naskhah buku setahun. Itu untuk orang dewasa yang sentiasa sibuk dengan kerja, famili, kawan-kawan dan rakan kerja atau perniagaan kecuali untuk membaca.
Angka itu meningkat kepada 15 naskhah pada 2014 berdasarkan laporan kajian interim, namun tabiat membaca masih lagi rendah berbanding 40 judul buku setahun di negara maju. Diikuti rakyat Thailand dan China yang rata-rata membaca selama lapan hingga sembilan jam dalam tempoh yang sama.
Daripada kajian, 76% atau 18 juta rakyat Malaysia berusia 15 tahun ke atas boleh diklasifikasikan sebagai sasaran pembaca buku yang berdaya beli untuk pasaran buku.
Namun 22% (5.5 juta) pada kumpulan usia sama, menyatakan langsung tidak berminat mahupun peduli dengan buku dan sumber bacaan yang kedapatan.
Angka 5.5 juta merupakan purata responden yang dikaji dan menyatakan tidak membeli walaupun sebuah buku sepanjang tahun.
Lagi uniknya dengan hanya 16% (3.7 juta) pembaca masih mengamalkan budaya meminjam buku di perpustakaan dan 9% mengakui meminjam buku daripada rakan.
Dicampur semua jumlah itu sedikit kabur bila 76% rakyat Malaysia berada dalam radius budaya membaca. Saya rasa tidak sampai peratusan membaca apabila pergi ke rumah dan tiada satu buku pun kedapatan.
Menyedihkan statistik menunjukkan Malaysia tidak termasuk dalam senarai NOP World Culture Score Index atau lebih tepatnya budaya membaca di Malaysia tidak melebihi 3 jam seminggu itupun untuk akhbar dan majalah.
Secara puratanya rakyat Malaysia yang punya kesedaran hanya membaca 15 hingga 20 buku setahun tetapi kebanyakan orang dikatakan membaca untuk dua muka surat setahun.
Rakyat Malaysia selalu dikaitkan dengan budaya malas membaca dan memang banyak sangat ketinggalan serta kemunduran.
Sebab itulah demi memastikan hala tuju pendidikan negara mempunyai garis ukur yang jelas, Kementerian Pendidikan menyasarkan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara membaca menjelang 2030.
Boleh kita capat matlamat ini untuk membaca hanya tahun 2030?
Mengapa tidak sekarang selepas lama merdeka?
Bagi orang Islam tentu tahu perintah pertama yang Allah Taala turunkan kepada Nabi Muhammad SAW ialah menyuruh umat manusia membaca – Iqra.
Rasanya itulah perintah Allah yang paling diabaikan oleh muslim dengan tidak terkecuali orang Melayu Malaysia yang mengaku Islam.
Memandangkan statistik membaca berada di tahap yang membimbangkan saya ingin kembali menyasarkan perpustakaan sekolah yang kebanyakan kekurangan bajet dan peruntukan. Selalunya perpustakaan yang terakhir.
Kerajaan telah menyasarkan penerbitan negara mencapai 31,700 judul setahun menjelang tahun 2020 berbanding 19,713 judul tahun 2019 tetapi tidak mencapai matlamat disebabkan epidemik.
Jenis buku yang paling popular dalam kalangan pembaca adalah berbentuk fiksyen (76%), hobi dan minat (53%), bukan fiksyen (36%), perniagaan (18%), ulasan saintifik dan buku teks (18%) dan sains popular sebanyak 15%.
Sebenarnya pembacaan yang banyak dapat mempertingkatkan kecerdasan emosi (EQ) dan tahap kecerdasan intelektual (IQ) seseorang.
Kedua-dua unsur kecerdasan amat penting bagi membolehkan seseorang itu menguasai pelbagai keadaan dan merebut peluang yang ada bagi pembangunan diri dan masyarakat.
Walaupun buku bercetak masih mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat, namun sumber bacaan dalam medium digital juga semakin diminati ramai terutamanya golongan muda kerana mudah diperoleh dan boleh dibaca pada bila-bila masa dan di mana sahaja.
Anak-anak saya sewaktu di Dubai dan masih kecil selalu pergi ke perpustakaan swasta kerana tiada perpustakaan umum di Dubai pada masa itu, tahun 2000-an. Dengan membayar wang untuk sebulan dan anak-anak saya pergi perpustakaan selepas sekolah dan sebelah malam setiap hari dengan pergi pagi waktu cuti.
Boleh meminjam dua buku sekali dan akhirnya tuan punya perpustakaan swasta itu tidak membenarkan anak-anak saya berlanggan kerana rugi. Anak-anak saya suka membaca selain belajar di sekolah.
Malas membaca
Begitupun orang Melayu bukanlah manusia yang gemar membaca dengan mengutamakan pendidikan, sejarah dan berbahas secara rasional mahupun relevan.
Boleh dikatakan majoriti orang Malaysia adalah manusia yang malas membaca, malas berfikir, tidak gemarkan sejarah dan sangat mudah lupa bersama masa.
Jika berterusan begini, Malaysia tidak akan menjadi negara maju, atau amat sukar menjadi negara maju, dalam pengertian dan realiti sebenar untuk tahun mendatang.
Harus diingat untuk menjadi negara maju mestilah bertamadun dan mestilah banyak membaca, mesti berilmu dan perngetahuan serta mesti berbudi pekerti yang tinggi dan dihormati.
Nampaknya sukar untuk mengubah dalam situasi sekarang apabila Facebook, WhatsApp, Instagram, TikTok, Twitter dan media sosial lebih laku dengan orang berintekasi dan berkomunikasi berjam-jam sehari. Tanpa membaca.
Ibu bapa beranggapan media sosial sebagai sejenis bahan bacaan sehingga 50 peratus kadar penggunaan masa lapang anak-anak cenderung kepada penggunaan media sosial dan penstriman video yang berleluasa.
Dengan keadaan sekarang yang terus membawa manusia kepada dunia digital dan melupakan bahan bercetak, sesuatu mesti dilakukan.
Semuga kempen hadiah buku kepada perpustakaan sekolah menjadi inspirasi dan pendorong untuk rakyat Malaysia membaca walaupun sebelum 2030. - DagangNews.com