Rakyat Malaysia suka bawang dari India, catat import tertinggi   | DagangNews Skip to main content

Rakyat Malaysia suka bawang dari India, catat import tertinggi  

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 23 Nov. - Malaysia mencatatkan jumlah import bawang tertinggi dari India iaitu sebanyak 149,539,411 kg yang bersesuaian minat dan cita rasa rakyat negara ini. 

 

Bekalan bawang di Malaysia diimport dari 29 buah negara di mana lima daripadanya merupakan pengeksport terbesar iaitu India (36%), Pakistan (23%), China (19%), Belanda (9%) dan Thailand (7%). 

 

Malaysia mengimport bawang dari pelbagai negara sebagai salah satu strategi yang berkesan untuk memastikan bekalan sentiasa mencukupi dan tidak bergantung kepada sesebuah negara sahaja, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi. 

 

“Ini kerana jika sesebuah negara tersebut mengalami bencana alam seperti kemarau, banjir, gempa bumi dan tanah runtuh, atau melaksanakan sekatan ekonomi, maka kita tidak akan terancam dan bekalan bawang tidak terganggu walaupun harga mungkin akan menerima impaknya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

 

Malaysia mengimport lapan jenis bawang iaitu Bawang Kecil Merah Import (India), Bawang Besar Import (India), Bawang Merah Import (China), Bawang Kecil Merah Import (China), Bawang kecil Merah Rose (Import), Bawang Kecil Merah Import (Myanmar), Bawang Kecil Merah (Thailand) dan Bawang Besar Kuning (Holland). 

 

Pada 14 September 2020, kerajaan India telah mengeluarkan arahan larangan eksport ke atas semua jenis bawang kecuali jenis ‘Bangalore Rose’ dan ‘Krishnapuram’.

 

Langkah itu bertujuan menampung keperluan domestik di negara mereka ekoran bencana banjir yang berlaku pada bulan Julai 2020, kata Alexander. 

 

Berikutan itu, sebanyak 121 syarikat pengimport telah mula meningkatkan jumlah pengimportan bekalan bawang dari negara seperti Pakistan, China, Belanda dan Thailand.

 

Ujarnya, harga bawang adalah sama seperti harga barangan lain yang bergantung kepada bekalan dan permintaan. 

 

Jika bekalan kurang dan permintaan tinggi, maka harga akan naik.

 

“Inilah yang juga sedang berlaku kepada bawang India dan sedikit sebanyak mempengaruhi keseluruhan bekalan bawang kecuali beberapa jenis bawang seperti bawang Holland. Pasukan Penguat Kuasa KPDNHEP akan terus melakukan pemeriksaan dan pemantauan berhubung perkara ini di semua peringkat termasuk pembekal, pemborong dan peruncit. 

 

“Pihak kementerian tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan jika terbukti ada kes dan akan melaksanakan harga kawalan yang dalam bidang kuasa kementerian seperti termaktub dalam Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum) (No. 2) (Pindaan) 2020 jika keadaan mendesak dan memerlukan. 

 

“KPDNHEP berharap para pengguna dapat memuat turun aplikasi Price Catcher yang membolehkan pengguna memeriksa harga barang melalui aplikasi tersebut dan carilah kedai yang berdekatan untuk mendapatkan harga barang yang terbaik. Bawang tidak terkecuali. KPDNHEP amat menghargai maklum balas daripada pengguna agar tindakan segera dapat diambil,” tambah beliau. 

 

Aduan boleh dibuat ke : i) Portal e-aduan@kpdnhep.gov.my; (ii) Pusat Talian 1800 886 800; (iii) Emel e-aduan@kpdnhep.gov.my; (iv) aplikasi telefon pintar Ez ADU; (v) Enforcement Command Centre (ECC) 03-8882 6245 / 6088; (vi) talian 03-8000 8000 Malaysia Government Call Centre (MYGCC); dan (vii) whatsapps ke talian 019-279 4317. - DagangNews.com