Rakyat tempatan diberi keutamaan sertai sektor perladangan dan komoditi | DagangNews Skip to main content

Rakyat tempatan diberi keutamaan sertai sektor perladangan dan komoditi

Pekerja ladang sawit

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 11 Okt. - Kekurangan jumlah tenaga kerja dalam sektor perladangan dan komoditi yang kritikal dikhuatiri boleh menjejaskan prestasi serta kemajuan industri agrikomoditi negara.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, kebimbangan itu 
mendorong pengenalan kempen bagi mengajak lebih ramai rakyat tempatan termasuk Orang Asli untuk bekerja dalam sektor berkenaan.

"Kerajaan amat memahami situasi yang dihadapi oleh pihak industri mengenai kekurangan tenaga kerja susulan pandemik COVID-19 yang kini berada pada gelombang ketiga.

"KPKK (Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi)  akan melipatgandakan usaha untuk mengisi kekurangan tenaga kerja di sektor perladangan dan komoditi dengan mengadakan kempen untuk mengajak lebih ramai rakyat tempatan termasuk Orang Asli untuk bekerja di sektor ini.

"KPKK akan terus bergerak ke arah memberi keutamaan kepada rakyat tempatan bekerja di sektor perladangan dan komoditi selain memperkasa modal insan melalui latihan dan kursus di bawah Institusi Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Mohd. Khairuddin Aman Razali
Mohd. Khairuddin Aman Razali 

 

Mengulas berkaitan tahap keselamatan rakyat yang memerlukan sekatan kemasukan pekerja asing ke negara ini, beliau memberitahu, keputusan itu adalah pendekatan terbaik dengan mengambil kira situasi semasa selain memberi keutamaan kepada rakyat tempatan yang hilang pekerjaan.

"Pada masa yang sama, kerajaan juga sedang mempertimbang untuk memberikan permit sementara kepada pekerja asing tanpa izin di negara ini bagi menangani situasi kritikal di sektor sawit dan juga getah bagi bidang pekerjaan yang masih sukar menarik minat rakyat tempatan.

"Kementerian dengan kerjasama pelbagai kementerian dan agensi berkaitan akan terus berusaha keras membantu sektor agrikomoditi mendapatkan pekerjaan melalui kempen menggalakkan rakyat tempatan," ujarnya lagi.

Dalam kenyataan yang sama, beliau memberitahu, pihaknya berbesar hati dan mengalu-alukan penglibatan agensi pekerjaan tempatan untuk tampil serta membantu kementerian bagi menggalakkan penyertaan rakyat tempatan.

Jelasnya, perkara itu penting bagi merialisasikan usaha untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing. - DagangNews.com