Rakyat terus berhati-hati untuk berbelanja, ramal Kenanga | DagangNews Skip to main content

Rakyat terus berhati-hati untuk berbelanja, ramal Kenanga

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 2 Julai - Pengguna di Malaysia dijangka terus berhati-hati untuk berbelanja memasuki separuh kedua tahun 2021 (2H21) memandangkan ‘lockdown’ masih dikuatkuasakan.

 

Penganalisis di Kenanga Research, Ahmad Ramzani Ramli berkata, pemulihan sentimen pengguna yang dilihat pada awal tahun ini terus kelam atau terhenti kerana kes COVID-19 melonjak semula dengan pelancaran vaksin yang dilihat mencabar. 

 

“Namun, kami menjangkakan imuniti kelompok yang bersasar akan tercapai menjelang suku keempat 2021 (4Q21), dengan pengedaran vaksin dipercepatkan. 

 

“Pengumuman baru-baru ini berhubung bantuan tunai dan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dialu-alukan untuk melonjakkan sentimen pengguna,” katanya dalam satu nota kajian hari ini.

 

Kenanga mengekalkan penarafan ‘neutral’ ke atas sektor pengguna, antaranya disebabkan oleh ketiadaan pemangkin penilaian semula jangka pendek iaitu harga komoditi dan kos logistik yang stabil, serta ringgit yang menguntungkan.

 

Bagaimanapun, risiko penurunan dilihat terhad kerana perbelanjaan asas akan terus disokong oleh langkah bantuan tambahan, aktiviti ekonomi perlu terus dibuka dan kebanyakan kaunter di bawah liputan Kenanga menunjukkan kunci kira-kira yang kukuh. 

 

Tambah Kenanga, walaupun pertumbuhan sihat dicatatkan pada suku tahun sebelum ini, namun prospek sektor pengguna terus mencabar.

 

Situasi sama turut mempengaruhi keuntungan kasar pada masa hadapan memandangkan permintaan mengatasi bekalan pemulihan ekonomi global, didorong oleh pelancaran vaksin yang lebih berjaya di seluruh dunia. - DagangNews.com