Pelabur asing jual RM502.2 juta ekuiti Malaysia pada minggu kedua belas berturut-turut, kata MIDF Research  | DagangNews Skip to main content

Pelabur asing jual RM502.2 juta ekuiti Malaysia pada minggu kedua belas berturut-turut, kata MIDF Research 

Gambar hiasan dari Freepik
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 13 Jan - Pelabur asing melanjutkan penjualan ekuiti Malaysia di Bursa Malaysia, menandakan aliran keluar dana pada minggu kedua belas berturut-turut berjumlah RM502.2 juta, kata MIDF Research. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, aliran dana telah dikeluarkan pada setiap hari dagangan, dengan penjualan bersih tertinggi pada Khamis (RM162.3 juta),  manakala aliran keluar pada hari-hari berikutnya adalah antara julat RM56.1 juta dan RM111.5 juta.

 


Katanya, dua sektor yang mencatat kemasukan aliran dana bersih adalah pembinaan (RM271.1 juta), dan Real Estate Investment Trust (REIT) pada RM20 juta. 

 

"Dalam pada itu, tiga sektor teratas yang mencatat aliran keluaran dana tertinggi ialah utiliti (RM142.7 juta), perkhidmatan kewangan (RM130 juta) serta pengangkutan dan logistik (RM92.5 juta)," katanya dalam laporan aliran dana, hari ini. 

 


Sementara itu, MIDF Research berkata, pelabur runcit tempatan menjadi pembeli bersih selepas dua minggu jualan bersih, menyumbang sebanyak RM220.3 juta aliran masuk dana yang kukuh. 

 

"Pelabur runcit tempatan mengekalkan pembelian bersih ekuiti domestik mereka untuk minggu kedua belas berturut - turut dengan jumlah pembelian sebanyak  RM281.9 juta. 

 

"Pembelian berlaku pada minggu lepas melanjutkan rentetan pembelian mereka kepada 36 hari dagangan berturut-turut.

 


"Dari segi pergerakan pelabur, terdapat kenaikan purata nilai dagangan harian (ADTV) secara keseluruhan  dalam kalangan pelabur runcit tempatan (19.8%), pelabur institusi tempatan (19.8%) dan pelabur asing (30.8%)," katanya.  - DagangNews.com