RAM jangka rosot nilai bank meningkat | DagangNews Skip to main content

RAM jangka rosot nilai bank meningkat

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 4 Dis. - RAM Rating menjangkakan penurunan nilai terhadap industri perbankan terus meningkat pada suku tahun akan datang kerana mereka masih mengambil langkah berjaga-jaga dan berhemah. 

 

Ketua Bersama firma itu, Wong Yin Ching berkata, liputan lindung nilai pinjaman kasar (GIL) bagi 8 bank (dengan rizab kawal selia) dan nisbah modal ekuiti biasa peringkat 1 masing-masing berada pada 114% dan 14.6%. 

 

Didapati, kira-kira separuh daripada caj rosot nilai pada suku ketiga adalah tindakan awal sama ada menerusi lapisan pengurusan atau penyelarasan makroekonomi.  

 

"Hasilnya, purata nisbah kos kredit bagi 8 bank itu berada pada 81 mata asas untuk suku ketiga (berbanding 91 mata asas pada suku kedua). 

 

"Nisbah ini bagaimanaoun, adalah rendah sedikit bagi perbandingan suku ke suku disebabkan rosot nilai di luar negara yang lebih awal. 

 

"Kami percaya institusi perbankan di Malaysia mampu menyerap kerugian terutama semasa berdepan krisis COVID-19," katanya dalam kenyataan hari ini.  

 

Dengan sebahagian besar pinjaman adalah pembayaran balik moratorium, nisbah GIL industri perbankan di Malaysia mencecah paras terendah, 1.38% setakat akhir September 2020 (1.53% pada akhir Disember 2019). 

 

"Walaupun nisbah ini tidak mungkin berkurangan lagi, tetapi ia boleh ditampung menerusi program bantuan bayaran semula secara bersasar (TRA), setelah berakhirnya moratorium automatik pada akhir September lalu," katanya. 

 

TRA ini layak untuk individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan menawarkan bentuk bayaran sama ada 3 bulan lanjutan atau mengurangkan bayaran ansuran bulanan sekurang-kurangnya 6 bulan (termasuk kelulusan automatik kepada B40 dan perniagaan mikro). 

 

Yin Ching berkata, berdasarkan data terkini, kira-kira 11% (antara 8 hingga 15% mengikut bank) daripada portfolio pinjaman domestik 8 bank tempatan adalah di bawah TRA atau tertakluk kepada penstrukturan dan penjadualan semula. 

 

"Jumlah ini mungkin meningkat ketika semakin banyak peminjam memohon bantuan kewangan dalam beberapa bulan akan datang.  Kualiti aset hanya akan semakin jelas setelah bantuan berakhir," katanya. 

 

Beliau berkata, RAM menjangkakan nisbah GIL akan mencapai kemuncak 3 hingga 3.5% pada 2021 atau 2022. 

 

Firma itu juga mendapati terdapat pemulihan yang kukuh dalam margin faedah bersih (NIM) pada keputusan kewangan suku ketiga melibatkan institusi perbankan setelah industri merekodkan penurunan prestasi sebelumnya. 

 

Purata NIM bagi 8 kumpulan perbankan tempatan meningkat 26 mata asas bagi suku ke suku kepada 2.09% pada suku ketiga 2020. Namun, ia masih rendah berbanding purata 2.2 hingga 2.3%, sebelum ini. - DagangNews.com