RAM Ratings sahkan semula penarafan AAA/Stabil/P1 Citibank | DagangNews Skip to main content

RAM Ratings sahkan semula penarafan AAA/Stabil/P1 Citibank

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 4 Jan - RAM Ratings mengesahkan semula penarafan institusi kewangan AAA/Stabil/P1 Citibank Bhd berdasarkan jangkaannya bahawa bank itu akan terus mendapat sokongan luar biasa daripada syarikat induknya, Citigroup Inc.

 

Agensi penarafan itu berkata, Citibank kekal sebagai entiti penting secara strategik kepada kumpulan itu walaupun usaha berterusan untuk melupuskan perniagaan perbankan penggunanya di Malaysia.

 

Ujarnya, perniagaan Kumpulan Pelanggan Institusi (ICG) akan menjadi baki francais Citibank di Malaysia selepas pelupusan segmen pengguna.

 

"Ia sejajar dengan strategi Citigroup Inc untuk keluar dari perniagaan perbankan pengguna di 13 pasaran.

 

"Kami menjangkakan Citibank kekal bersepadu dengan induknya dan terus memanfaatkan rangkaian global kumpulan itu untuk memberi perkhidmatan kepada pelanggan institusi di Malaysia,” kata RAM dalam satu kenyataan. 

 

Tambahnya, Citibank mempunyai kedudukan perniagaan yang kukuh dalam perniagaan ICG yang merangkumi pinjaman korporat, perkhidmatan kewangan perbendaharaan dan perdagangan, pengurusan tunai, perkhidmatan kustodian, derivatif dan jualan forex.

 

"Tetapi asas hasilnya pada masa hadapan mungkin menunjukkan turun naik yang lebih tinggi kerana segmen produk tertentu lebih sensitif kepada keadaan pasaran,” tambahnya.

 

Pelupusan perniagaan perbankan pengguna Citibank sedang berjalan mengikut garis masa dalaman bank dan dijangka selesai pada 2022, tertakluk kepada kelulusan kawal selia. 

 

RAM berkata, penjualan itu akan mengurangkan asas pinjaman sebanyak anggaran 75% tetapi mengurangkan aset dan deposit masing-masing sebanyak 20% dan 30%. 

 

“Kami menjangkakan penunjuk kualiti aset Citibank akan bertahan dengan baik selepas pelupusan perniagaan perbankan penggunanya. Kualiti kredit portfolio korporat dan komersialnya adalah baik. Ketegangan pada masa lalu sebahagian besarnya berpunca daripada segmen runcit," katanya. -DagangNews.com