KUALA LUMPUR 8 Dis - RAM Rating Services Bhd. mengunjurkan ekonomi Malaysia akan berkembang kukuh, 6.8% pada tahun hadapan berbanding anggaran 3.8% bagi tahun ini.
Pertumbuhan itu didorong oleh kesan asas yang lebih rendah dan juga kemajuan dalam program vaksinasi negara, menurut penganalisisnya dalam kenyataan hari ini.
Bahkan, ekonomi negara juga akan kembali melantun dalam kebanyakan aspek, memacu momentum pertumbuhan positif hasil daripada vaksinasi yang tinggi dan pelancaran dos penggalak secara berterusan.
Jelasnya, pembukaan semula kebanyakan ekonomi tanpa sebarang risiko kepada sekatan pergerakan seterusnya menjadi pemangkin utama kepada ramalan RAM.
"Kemunculan varian Omicron baru-baru ini, boleh meningkatkan ancaman, dan menjejaskan pemulihan tetapi tidak sepenuhnya.
"Pelaksanaan semula sekatan di seluruh negara tidak berada dalam senario asas semasa kami," katanya.
Kesan asas yang rendah dilihat akan menyokong pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ke tahun pada 2022 tetapi output secara mutlak masih di bawah potensi, dijangka hanya kira-kira 4.6% di atas output 2019.
Jurang output negatif pula, katanya, dijangka muncul pada 2022, meskipun lebih rendah berbanding 2 tahun lalu.
Agensi penafaran itu turut menganggarkan defisit fiskal Malaysia daripada KDNK berada pada 5.9% pada 2022, sejajar dengan unjuran kerajaan sebanyak 6% di bawah Bajet 2022, menurun daripada anggaran 6.5% bagi 2021.
"Prospek pertumbuhan ekonomi yang lebih baik dan keuntungan ketara daripada dasar cukai sekali sahaja dan terlaras adalah peningkatan kepada bajet, walaupun peruntukan belanjawan yang lebih tinggi untuk 2022.
"Ruang fiskal kekal agak ketat dengan hutang kerajaan dijangka mencecah RM1.1 trilion pada tahun hadapan (atau 65% daripada KDNK) manakala beban pembayaran hutang yang ketara pada 17.2% daripada anggaran hasil bagi tahun tersebut (2021 :17.6%)," jelasnya. - DagangNews.com