Ramai mahu jual kereta selepas PKP - Kaji selidik | DagangNews Skip to main content

Ramai mahu jual kereta selepas PKP - Kaji selidik

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 19 Jan. - Ramai rakyat Malaysia yang berhasrat untuk menjual kereta mereka selepas pelaksanaan perintah berkurung atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

 

Menurut hasil kaji selidik Pengguna Carsome, jumlah rakyat Malaysia yang mahu menjual kereta mereka selepas PKP melonjak 133% berbanding sebelum tempoh penguatkuasaan itu. 

 

“Sebab utamanya adalah untuk menukar kereta lama dengan yang baharu dan mahu memiliki lebih banyak wang tunai,” jelas Carsome menerusi kaji selidik yang diedarkan hari ini. 

 

Bagaimanapun, kaji selidik itu juga mendapati hasrat untuk membeli kereta dalam kalangan rakyat Malaysia juga melonjak sebanyak 32% bagi tempoh sama. 

 

Sebanyak 58% rakyat Malaysia merancang untuk membeli kenderaan dalam tempoh enam bulan mendatang, mendahului negara-negara jiran di Asia Tenggara.

 

“Kebanyakan rakyat Malaysia merancang untuk membeli kenderaan dalam tempoh satu hingga enam bulan akan datang untuk digunakan bagi rutin harian. 

 

"Platform penjualan kereta terpakai dalam talian di Malaysia dan Indonesia meraih populariti setelah tempoh perintah berkurung, terutamanya di Malaysia, yang menyaksikan peningkatan populariti sebanyak 55%.

 

“Dalam sama sama, rakyat Malaysia, Indonesia dan Thailand meningkatkan penggunaan kereta mereka untuk mengelak daripada menggunakan pengangkutan awam ketika perintah berkurung bagi mengurangkan kontak dengan orang tidak dikenali,” tambah kaji selidik itu. 

 

Kaji selidik itu dijalankan ke atas tiga buah negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Thailand bagi melihat sentimen pengguna ke atas pembelian dan penjualan kereta serta penggunaan pengangkutan awam dan perkhidmatan e-hailing.

 

Carsome menjalankan kaji selidik itu pada Oktober 2020, melibatkan 1,000 pengguna Malaysia, Indonesia (1,005) dan Thailand (1,005). 

 

Kaji selidik itu dijalankan menerusi panel dalam talian oleh agensi penyelidikan. 

 

Dalam kenyataan media berlainan, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Carsome, Eric Cheng menjangkakan permintaan terhadap industri automotif  akan terus berkembang ketika pelaksanaan PKP 2.0.

 

Eric Cheng
Eric Cheng

 

Ujarnya, ini sejajar dengan hasil kaji selidik itu di mana mendapati lebih ramai rakyat Malaysia yang berhasrat untuk membeli dan menjual kereta mereka dalam tempoh beberapa bulan mendatang. 

 

“Dengan kekurangan bahagian kenderaan di peringkat global seperti cip elektronik serta gangguan pemasangan kenderaan dan kilang pembuatan di dalam negara, kami menjangkakan terdapat kekurangan bekalan kenderaan baharu dalam jangka masa pendek hingga sederhana atau kelewatan penghantaran kereta baharu.

 

“Oleh itu, industri kereta terpakai adalah posisi yang baik untuk pertumbuhan kerana tidak ada waktu menunggu untuk penghantaran kereta,” ujarnya. - DagangNews.com