Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 10 Feb. - Ramalan pendapatan Sunway Real Estate Investment Trust (Sunway REIT) bagi tahun kewangan 2021 dan 2022 disemak semula masing-masing pada kadar -20.6% dan -4.8%.
MIDF Research berkata, semak turun tersebut dibuat selepas mengambil kira faktor sumbangan yang lebih rendah daripada bahagian runcit.
"Sejajar dengan pendapatan yang lebih rendah, harga sasaran sesaham (TP) Sunway REIT disemak semula kepada RM1.50 berbanding RM1.61 pada sebelumnya.
"Kami kekalkan saranan 'neutral' terhadap Sunway REIT kerana prospek pendapatan yang rendah dalam jangka masa pendek," jelas MIDF Research.
Bagi tempoh enam bulan pertama tahun kewangan 2021 (6MFY21), Sunway REIT berjaya memperoleh pendapatan bersih sebanyak RM67.9 juta.
Bagaimanapun, pendapatan bersih bagi suku kedua tahun kewangan 2021 pula adalah sebanyak RM33.5 juta, susut -2.6% berbanding suku sebelumnya.
Baca: Sunway REIT cadang agihan pendapatan RM26.4 juta
Dalam perbandingan tahunan, pendapatan bersih pada suku kedua 2020 adalah lebih rendah sebanyak RM33.5 juta, menurun 56.6% berbaning tahun sebelumnya.
Angka tersebut menjadikan jumlah pendapatan terkumpul dalam tempoh enam bulan pertama tahun kewangan 2021 adalah sebanyal RM67.9 juta, turun 56.5% berbanding tahun sebelumnya.
Sementara itu, CGS-CIMB Research mengambil keputusan mengurangkan jangkaan perolahan seseham (EPS) bagi tahun kewangan 2021 hingga 2023 sebanyak 12% hingga 22%.
Keputusan itu dibuat untuk mencerminkan prestasi pendapatan sewa serta margin NPI yang lebih rendah sebanyak 70% hingga 75% berbanding 79% hingga 80% pada sebelumnya.
"Kami mengurangkan TP kepada RM1.39 dengan saranan 'pegang' saham Sunway REIT.
"Sunway REIT berkemungkinan pulih setelah pelancaran vaksin sekali gus memulihkan sentimen runcit, namun lanjutan PKP 2.0 memberi risiko negatif," tambah CGS-CIMB Research. - DagangNews.com