KUALA LUMPUR 26 Jun - Ramssol Group Bhd mengemukakan cadangan untuk mengambil alih 51% kepentingan dalam syarikat perisian perundingan dikuasakan kecerdasan buatan (AI) yang berpangkalan di Thailand pada harga RM6.93 juta.
Penyedia rumusan pengurusan modal insan dan teknologi tempatan itu berkata, mereka memperoleh pegangan dalam Geekstart Company Ltd daripada pengasas bersama syarikat itu, Tanasak Tantitarntong, Kitipat Veerachien dan Rujirat Chuangsungnern.
Bagaimanapun, vendor itu akan terus memegang baki 49% kepentingan ekuiti dalam Geekstart setelah selesai perjanjian itu, kata Ramssol dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Kumpulan itu berkata, pengambilalihan 51% kepentingan itu akan dibiayai melalui terbitan 13.07 juta saham dalam Ramssol, mewakili 4.10% kepentingan, pada 53 sen sesaham.
Perjanjian itu termasuk jaminan keuntungan oleh Geekstart bahawa syarikat itu akan mencapai keuntungan bersih tidak kurang daripada RM4.7 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (FY24) dan RM7.05 juta untuk FY25.
Ramssol berkata, Geekstart pakar dalam teknologi digital, memfokuskan pada pembangunan perisian untuk aplikasi web, mudah alih dan internet of things (IoT).
Kepakarannya terletak pada rumusan perisian tersuai untuk perniagaan, termasuk pembangunan, pelaksanaan, penyepaduan dan penyelenggaraan.
Geekstart baru-baru ini dikuasakan oleh Nvidia CUDA, OpenAI, dan mempunyai perkongsian sejarah dengan teknologi Microsoft dan Google.
“Pemerolehan ini menandakan satu peristiwa penting dalam strategi pengembangan Ramssol, meningkatkan keupayaan digitalnya di seluruh Asia Tenggara dan mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain utama dalam landskap pengalaman digital yang berkembang di rantau ini,” kata Ramssol.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Cllement Tan Chee Seng berkata, pemerolehan Geekstart membolehkan kumpulan itu memperkenalkan rumusan AI yang diiktiraf kepada pangkalan pelanggan sedia ada di Asia Tenggara.- DagangNews.com