Rancang perjalanan jauh Hari Natal? Ini nasihat perjalanan Anih Berhad | DagangNews Skip to main content

Rancang perjalanan jauh Hari Natal? Ini nasihat perjalanan Anih Berhad

Anih Berhad

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 22 Dis. - Pemegang konsesi tol Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1) dari Gombak ke Jabor, Anih Berhad menyarankan pengguna lebuh raya untuk rancang perjalanan ke negeri-negeri di Pantai Timur sempena sambutan Hari Natal yang bakal tiba.

 

Pengarah Eksekutifnya, Datuk Nik Fauzi Nik Hussein berkata, pihaknya telah menyediakan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan atau Travel Time Advisory (TTA) sebagai rujukan pengguna untuk ke negeri-negeri di pantai timur sempena cuti perayaan Hari Natal.

 

"Anih Berhad menyarankan pengguna yang ingin menuju ke Pahang pada 24 Disember 2020 untuk masuk ke lebuh raya sama ada pada pukul 12 tengah hari hingga 4 petang ATAU antara 7 hingga 11 malam. 

 

"Pengguna yang ingin menuju ke Terengganu dan Kelantan pada tarikh yang sama pula boleh memulakan perjalanan antara pukul 6 hingga 10 pagi ATAU pada jam 5 petang hingga 8 malam," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Mengulas berkaitan perjalanan kembali semula ke ibu kota pada 27 Disember, beliau berkata, pengguna dari Pahang boleh memilih sama ada untuk memulakan perjalanan antara pukul 6 hingga 10 pagi atau antara 7 hingga 11 malam. 

 

Pada tarikh yang sama, pengguna dari Terengganu pula disarankan untuk memasuki lebuh raya antara pukul 8 hingga 11 pagi atau antara 8 hingga 10 malam.

 

Manakala pengguna dari Kelantan boleh menggunakan lebuh raya bermula pukul 6 petang hingga 9 malam ATAU antara 11 malam hingga 12 tengah malam.

 

Tambah beliau, pihaknya  turut bersimpati dengan keadaan banjir yang melanda beberapa tempat terutamanya di negeri Terengganu dan Kelantan.

 

Susulan itu, pengguna lebuh raya dinasihati merujuk kepada maklumat terkini tentang keadaan banjir sebelum merancang perjalanan.

 

"Pengguna lebuh raya dinasihati untuk sentiasa mengikuti SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan terutamanya ketika menggunakan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) dan Hentian Sebelah. 

 

"Untuk perjalanan yang lancar, Syarikat turut menasihati pengguna untuk memastikan baki kad dan e-Wallet Touch ‘n Go mencukupi sebelum memasuki lebuh raya," tambah beliau lagi. - DagangNews.com