KUALA LUMPUR 12 Mei – Rancangan hebat kerajaan untuk mengharamkan penjualan rokok dan produk tembakau kepada golongan yang lahir selepas 2005 tidak akan berjaya kerana sindiket rokok seludup akan mencari kaedah kreatif untuk memintasi undang-undang dan menjual rokok haram kepada segmen pasaran baru, kata Retail and Trade Brands Advocacy Malaysia Chapter (RTBA Malaysia) hari ini.
Pengarah Urusan RTBA Malaysia, Dato’ Fazli Nordin berkata, walaupun pun niat di sebalik Dasar Penamat Generasi Tembakau adalah murni, penjenayah yang berdagang rokok seludup sudah pasti akan melihat polisi ini sebagai satu lagi cara menguntungkan untuk mendapatkan segmen besar masyarakat yang akan dicegah daripada membeli rokok sah.
“Penjenayah ini tidak akan mematuhi mana-mana undang-undang ataupun peraturan.
''Apabila Dasar Penamat Generasi ini dilaksanakan, mereka akan mencari jalan segera untuk menarik perhatian ‘golongan yang diharamkan’ ini melalui promosi pintar serta menjadikan rokok seludup murah ini lebih mudah untuk diperoleh,” katanya.
“Selain daripada mencari jalan untuk menjadikan rokok seludup ini sampai ke tangan generasi yang diharamkan itu, kami jangkakan pengusaha rokok seludup juga akan menggalakkan merokok melalui penggunaan media sosial.
''Sudah ada kejadian di mana jenama rokok seludup telah menggunakan kaedah pengiklanan secara langsung atau tidak langsung melalui internet. Amat jelas, mereka tidak akan rugi malah akan mendapat lebih banyak keuntungan,” kata Fazli.
Menurut beliau, disebabkan kurangnya penguatkuasaan undang-undang dan peraturan sedia ada, perdagangan rokok seludup di Malaysia telah mencecah hampir 60% jumlah penjualan rokok di pasaran hari ini, yang menyebabkan Kerajaan kehilangan RM5 bilion setiap tahun dari segi cukai yang tidak dikutip.
“Adalah meragukan bahawa mengharamkan penjualan rokok kepada generasi baru akan menyebabkan permintaan keseluruhan bagi rokok akan menurun, dan seterusnya menghalang penjenayah rokok seludup. Ini adalah angan-angan sahaja,” katanya.
Yang nyata, dan berasaskan kepada pengalaman semasa dan data sejarah, penglibatan penjenayah akan menyebabkan perdagangan rokok seludup dan situasi merokok di negara ini meningkat jika undang-undang jenis larangan seperti Penamat Generasi ini dilaksanakan,” jelas Fazli dalam kenyataan di sini hari ini.
RTBA Malaysia menyatakan bahawa pandemik COVID-19 baru-baru ini menunjukkan bagaimana penjenayah yang berdagang barangan seludup seperti rokok menjadi kreatif dalam mengatasi halangan undang-undang dan logistik.
Pakar di Pasukan Petugas bagi Melawan Perdagangan Haram (TF-CIT) Organisasi bagi Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) baru-baru ini menjelaskan bahawa penjenayah berjaya menggerakkan aktiviti mereka dengan pantas kepada perniagaan dalam talian dan ruangan pasaran digital untuk menjual produk seludup mereka ketika perintah kawalan pergerakan.
Terdapat beberapa keadaan di mana penjenayah turut menjangkau kepada pelanggan baru dan sedia ada melalui jaringan media sosial bagi meluaskan aktiviti penjualan keji ini.
Sementara itu, di negara, RTBA Malaysia turut menjelaskan bahawa sindiket rokok haram bergerak pantas untuk menukar modus operandi mereka daripada menyeludup produk haram melalui pelabuhan kepada penggunaan kawasan pesisir pantai yang mudah ditembusi apabila Kerajaan melaksanakan sekatan pemindahan ke kapal pada 2021.
Dato’ Fazli mencadangkan agar Kerajaan melihat di luar kaedah larangan yang telah terbukti tidak berkesan dan sebaliknya mencari penyelesaian alternatif berasaskan bukti untuk mengurangkan aktiviti merokok di negara ini.
“Terdapat negara yang telah melaksanakan penyelesaian komprehensif dan praktikal yang telah mencapai hasil yang baik. Ini termasuklah menghapuskan perdagangan rokok seludup, menguatkuasakan undang-undang dan peraturan sedia ada berkaitan penjualan rokok kepada golongan bawah umur dan meningkatkan program pendidikan tentang bahaya merokok,” katanya. - DagangNews.com