Ranhill peroleh pembaharuan lesen rawatan air di Johor selama tiga tahun daripada SPAN | DagangNews Skip to main content

Ranhill peroleh pembaharuan lesen rawatan air di Johor selama tiga tahun daripada SPAN

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 12 Jan - Ranhill Utilities Bhd mengumumkan pembaharuan lesennya oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk merawat dan membekalkan air kepada pengguna di Johor bagi tempoh tiga tahun akan datang.

 

Ranhill Utilities dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata, anak syarikatnya, Ranhill SAJ Sdn Bhd, telah menerima surat daripada SPAN pada 10 Januari bagi memaklumkan pembaharuan lesen operasi keenam itu.

 

Pembaharuan lesen terbabit, yang dikeluarkan di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655), berkuat kuasa mulai 1 Januari 2024 hingga 31 Disember 2026.

 

Sebagai pembekal eksklusif sumber air ke paip di Johor, Ranhill SAJ Sdn Bhd bertanggungjawab untuk pengabstrakan, rawatan, pengedaran dan penjualan air mentah.

 

Syarikat itu kini menguruskan 46 loji rawatan air dengan jumlah kapasiti 23,000 juta liter air terawat sehari di Johor, memberi perkhidmatan kepada kira-kira 3.8 juta penduduk tempatan melalui rangkaian paip sepanjang 23,000km.

 

Saham Ranhill Utilities menokok 8 sen atau 7.6% kepada RM1.14 pada pukul 2:47 petang ini, memberikannya permodalan pasaran sebanyak RM1.48 bilion. - DagangNews.com