Ranhill Utilities mulakan operasi komersial aset solar berskala besar pertama | DagangNews Skip to main content

Ranhill Utilities mulakan operasi komersial aset solar berskala besar pertama

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 7 Feb - Ranhill Utilities Sdn Bhd menerusi anak syarikatnya, Ranhill Solar I Sdn Bhd (RSI) telah berjaya menyiapkan projek solar fotovoltaik 50MW (megawatt) di bawah program Solar Berskala Besar 4 (LSS4@Mentari) dan telah memenuhi tarikh operasi komersialnya.

 

Projek ini menandakan usaha sulung Ranhill untuk memiliki aset solar berskala besar, sejajar dengan komitmen syarikat terhadap tenaga boleh diperbaharui, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

 

Tarikh operasi komersial projek itu dijangka memberi kesan positif kepada pendapatan masa depan Ranhill Group sepanjang tempoh konsensi 25 tahun berikutnya.

 

"Projek itu akan mengurangkan 2.14 juta tan pelepasan karbon dioksida (CO2) sepanjang 25 tahun konsesinya, menyumbang besar kepada kelestarian alam sekitar.

 

"Ranhill komited untuk menerajui usaha kelestarian menerusi penggunaan tenaga bersih, meminimumkan jejak karbon dan memupuk masa depan yang lebih mesra alam," katanya.

 

Ranhill adalah salah satu daripada 30 syarikat yang memperoleh kuota LSS4 yang diagihkan pada 2021. Program LSS4 memperuntukkan sejumlah 823MW kapasiti.

 

Setakat pukul 3:47 petang ini, saham Ranhill menokok 5 sen atau 4.6% kepada RM1.13 dengan permodalan pasarannya bernilai RM1.47 bilion.  - DagangNews.com