Rasionalisasi subsidi mungkin menambah beban kepada sektor hartanah – Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Rasionalisasi subsidi mungkin menambah beban kepada sektor hartanah – Kenanga Research

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 12 Jan - Rasionalisasi subsidi dijangka boleh melembapkan lagi sektor hartanah yang kini dibebani oleh lebihan bekalan, hutang isi rumah yang tinggi, kadar faedah tinggi dan kelemahan sentimen pengguna.

 

Kenanga Research berkata ia mengekalkan pendirian ‘neutral’ terhadap sektor hartanah yang terus terjejas oleh inflasi yang tinggi dan peningkatan kos sara hidup, di mana subsidi bahan api akan menambah beban selanjutnya.

 

“Subsidi bahan api bersasar mungkin menafikan akses bahan api bersubsidi kepada sebahagian daripada kumpulan M40, menghakis kuasa perbelanjaan mereka, terutamanya ke atas barangan dengan perbelanjaan besar seperti hartanah,” ulasnya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata terdapat minat daripada pelabur ekuiti (dan bukannya pelabur hartanah) dalam pasaran hartanah di Johor disebabkan cadangan Zon Ekonomi Khas (SEZ) di Forest City dan hubungan yang lebih baik dengan Singapura melalui Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura.

 

Namun, firma itu menekankan bahawa SEZ dan RTS hanya akan beroperasi dalam 2025 dan 2026, masing-masing, tanpa sebarang keadaan tidak terjangka.

 

Bagaimanapun, Kenanga Research melihat prospek cerah dalam segmen perumahan mampu milik, di mana Mah Sing Group Berhad (‘outperform’, harga sasaran [TP]: RM1) dan MKH Berhad (‘outperform’, TP: RM2.11) menjadi pilihan utama firma tersebut bagi sektor ini memandangkan tumpuan mereka pada rumah mampu milik berharga RM500,000 dan ke bawah.

 

Selain itu, katanya, kedua-dua syarikat itu mempunyai kehadiran mantap di Lembah Klang yang mempunyai rangkaian infrastruktur awam meluas, justeru menambah kelebihan strategik mereka dalam mengemudi keadaan pasaran.

 

Memetik laporan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) bagi suku ketiga 2023, firma penyelidikan itu menyatakan bahawa 57% daripada hartanah kediaman baharu dilancarkan berharga di bawah RM500,000, dengan pengurangan 31% tahun ke tahun (YoY) dalam unit bernilai antara RM500,000 hingga RM1 juta.

 

“Ini menandakan minat yang semakin meningkat terhadap rumah mampu milik dengan produk yang berharga lebih RM500,000 mungkin diketepikan oleh pasaran besar.

 

“Menyesuaikan diri dengan keadaan pasaran, pemaju akan terus menawarkan beg campuran produk tetapi dengan penekanan lebih pada rumah mampu milik untuk memenuhi keperluan pembeli rumah kali pertama, didorong oleh pertumbuhan penduduk dan urbanisasi,” tambahnya.

 

Pada pukul 10:51 pagi ini, saham MKH telah menokok 1 sen atau 0.7% kepada RM1.43, dengan permodalan pasarannya bernilai RM838.9 juta.

 

Saham Mah Sing pula kekal pada 84.5 sen, memberikannya permodalan pasaran berjumlah RM2.05 bilion. - DagangNews.com