Razif kini Naib Presiden bahagian Pelaburan dan Geran MDEC | DagangNews Skip to main content

Razif kini Naib Presiden bahagian Pelaburan dan Geran MDEC

Razif Abdul Razak
 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 1 April - Sebagai langkah untuntuk mengekalkan momentum bagi misi 'Mencipta Semula', Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) telah melantik Razif Abdul Razak sebagai Naib Presiden bahagian Pelaburan dan Geran. 

 

Dalam sebuah kenyataan, MDEC memberitahu, Razif akan menguruskan inisiatif sedia ada dan yang bakal dilancarkan, bagi menggalakkan pelaburan dalam ekonomi digital Malaysia serta bertanggungjawab untuk menguruskan peruntukan geran bagi semua program MDEC. 

 

Beliau akan bekerja rapat dengan Raymond Siva, Naib Presiden Kanan bagi Pelaburan dan Jenama, merangkap Ketua Pegawai Pemasaran (CMO) MDEC, tambah perbadanan itu.

 

“Sebelum menyertai MDEC, Razif merupakan Ketua Pegawai Operasi di Cradle Fund Sdn. Bhd. (Cradle). Sepanjang lima tahun di sana, peranan beliau meliputi perundangan, sumber manusia, pentadbiran dan IT, pemasaran, perkongsian strategik dan kewangan. 

 

“Beliau berjaya melakukan transformasi termasuk mengemas kini prosedur operasi standard, yang telah menambah baik operasi sumber manusia dan menarik kerjasama strategik yang bernilai tambah. 

 

“Pada 2018, beliau telah mengambil peranan sebagai Pemangku CEO Kumpulan Cradle dan memperkenalkan Pelan Kesinambungan,” jelas kenyataan itu.

 

Antara pengalaman lain, Razif pernah memangku pelbagai jawatan sebagai ahli lembaga dan kepimpinan di unit pelaburan dan agensi kerajaan. 

 

Ramai yang mengenali Razif sebagai Pengarah Eksekutif di Malaysian Business Angel Network (MBAN), Ketua Pegawai Operasi untuk Malaysian Genomics Resource Centre Berhad dan Naib Presiden Kanan untuk Malaysia Biotechnology Corporation, tambah MDEC. 

 

Ujar MDEC lanjut, sebelum terlibat dalam kepimpinan korporat, beliau bertugas sebagai penasihat perundangan, kerajaan dan hal ehwal kawal selia dan perdagangan asing. 

 

Ketika ini, beliau memegang jawatan sebagai Panel Penasihat Industri untuk Jabatan Perniagaan di KDU University College (dijenamakan semula sebagai University of Wollongong) dan Taylor's University. 

 

Beliau sebelum ini juga pernah memangku jawatan penasihat di lembaga pihak berkuasa industri seperti UM Capital Berhad, Malaysian Venture Capital and Private Equity Development Council.

 

"Sudah pastinya jawatan ini hadir dengan tanggungjawab yang sangat besar. Saya sudah bersedia untuk menyumbang dan tidak sabar untuk menyertai pasukan yang dinamik kerana MDEC adalah peneraju ekonomi digital negara serta semakin mengukuhkan peranannya dalam menjadikan Malaysia sebagai Nadi Digital ASEAN," kata Razif. 

 

Sementara itu, Pengerusi MDEC, Datuk Dr. Rais Hussin Mohamed Ariff berkata, Misi Mencipta Semula MDEC telah berjaya menarik bakat-bakat kerja berprestasi tinggi dan pemimpin berpandangan jauh dengan pengalaman luas dari sektor awam dan swasta untuk menyertainya. 

 

Rais Hussin Mohamed Ariff
Rais Hussin Mohamed Ariff

 

“Dengan pelantikan ini, salah satu fungsi teras MDEC dapat dijajarkan semula untuk jabatan berprestasi cemerlang ini, demi memastikan proses sering ditambah baik seperti pendigitalan pengurusan dan pentadbiran geran. 

 

“Pengalaman luas beliau akan memastikan cara kerja yang diterapkan akan lebih telus. Ini sekaligus mengukuhkan peranan MDEC sebagai sebuah Agensi Promosi Pelaburan (IPA). 

 

“Bergerak ke hadapan, MDEC pastinya akan mengambil kesempatan dalam peluang baharu dengan agenda mengutamakan rakyat, pemikiran yang didorong masyarakat, sekaligus memacu agenda digital negara ke hadapan," ujarnya.

 

Menerusi kenyataan sama, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri melihat dengan meningkatkan keupayaan kepimpinan organisasinya, MDEC mampu melonjakkan negara ke arah Revolusi Industri Keempat (4IR) dengan lebih maju dan menggembleng usaha bagi mencapai jangkauan digital berimpak tinggi. 

 

Surina Shukri
Surina Shukri

 

“Dengan pelantikan Razif, fungsi pelaburan utama dan geran akan diselarikan demi memastikan kecekapan operasi jabatan yang berpencapaian tinggi ini ditingkatkan. 

 

“Kehadiran beliau membawa pengalaman luas– dari syarikat permulaan (start-up) kepada pembangunan teknologi, perundangan dan pengawalseliaan, pembangunan sumber manusia serta pelaburan – semua ini penting untuk MDEC memenuhi visi negara iaitu digital sebagai satu keutamaan, malahan sejajar dengan matlamat Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysa (MyDigital),” ujar beliau lanjut. - DagangNews.com