Red Hat fokus teknologi sokongan 5G selari inisiatif MyDigital | DagangNews Skip to main content

Red Hat fokus teknologi sokongan 5G selari inisiatif MyDigital

 

KUALA LUMPUR 9 Mac - Red Hat Malaysia berhasrat untuk mempercepatkan pelaksanaan teknologi generasi kelima (5G) yang mengikut piawaian untuk rangkaian jalur lebar selular bagi perniagaan. 

 

Menurut Pengurus Negara Red Hat Malaysia dan Brunei, Eric Quah, ini adalah selaras dengan matlamat pertumbuhan ekonomi digital oleh kerajaan menerusi MyDigital.

 

Jelasnya, Red Hat sebagai penyedia penyelesaian sumber terbuka akan bekerjasama dengan rakan kongsi digital bagi mencapai keupayaan yang mencukupi untuk jalur lebar 5G, terutama untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

 

Eric Quah
Eric Quah

 

“Kami melihat banyak aktiviti dalam menyediakan infrastruktur 5G MyDigital yang sangat penting dalam membantu perniagaan mencapai pendigitalan,” katanya ketika taklimat secara maya Strategi Rakan Kongsi Red Hat Asean 2021 menurut laporan Bernama.

 

Tambahnya, Red Hat kini berusaha mencapai pertumbuhan dua digit dalam perniagaan di Malaysia  menerusi inisiatif MyDigital. 

 

Untuk rekod, Quah mendedahkan 70% perniagaan Red Hat di Asia dan rantau Pasifik dikendalikan oleh rakan-rakan kongsinya. 

 

“Ini menunjukkan bahawa terdapat peluang untuk perusahaan mempunyai sumber terbuka sebagai pilihan utama untuk perniagaan mereka. 

 

“Kami juga ingin memperluaskan kehadiran kami ke lebih banyak negara,” kata Quah lagi. -

 

Pada tahun 2020, Red Hat telah melancarkan 131 kursus baharu dan terkini untuk rakan kongsi, antaranya dalam perkhidmatan aplikasi, OpenShift, Ansible Automation Platform dan Quarkus.

 

Dalam pada itu, Red Hat juga meningkatkan pengalaman pengguna sistem latihan Red Hat OPEN dengan fungsi perkongsian baharu agar rakan kongsi dapat berkongsi pautan langsung ke aset dengan mudah. - DagangNews.com