REDtone, Informed Solutions UK jalin kerjasama strategik serlahkan agenda pendigitalan Malaysia | DagangNews Skip to main content

REDtone, Informed Solutions UK jalin kerjasama strategik serlahkan agenda pendigitalan Malaysia

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 17 Okt - REDtone Digital Bhd dan Informed Solutions dari United Kingdom (UK) menjalin kerjasama strategik menawarkan platform transformasi digital dan rumusan yang dikuasakan oleh kecerdasan buatan (AI) bagi menyerlahkan agenda pendigitalan Malaysia.

 

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) REDtone, Lau Bik Soon berkata, kerjasama itu adalah tepat pada masanya memandangkan tumpuan kerajaan untuk membina ekosistem sektor awam yang lebih mantap dan bersepadu, pelancaran infrastruktur 5G, serta dorongan bagi memajukan keterangkuman.

 

Beliau berkata, rumusan digital dikuasakan AI boleh meningkatkan peralihan negara ke arah ekosistem sektor awam bersepadu.

 

Katanya, ia akan memupuk tahap kerjasama dan sinergi yang lebih tinggi, yang akan meningkatkan ketelusan, mengoptimumkan sumber dan keberkesanan. 

 

"Seterusnya, ia akan mengukuhkan cadangan Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama, sambil menyampaikan perkhidmatan berpaksikan rakyat di seluruh sektor awam.

 

"Selain itu, dengan data dan cerapan yang diperolehi AI, agensi kerajaan dapat membangunkan perkhidmatan dan produk baharu serta inovatif. 

 

"Kami juga boleh mempercepatkan transformasi digital agensi dengan memperkasakan penjawat awam untuk meningkatkan kepakaran teknikal mereka dalam bidang data, AI dan keselamatan siber," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

 

redtone
(Dari kiri) Seth Finegan, Lau Bik Soon, CEO MyDIGITAL Corporation, Fabian Bigar dan Pengerusi Informed Solutions, John Alderson.

 

 

CEO Informed Solutions, Seth Finegan berkata, kerjasama tersebut membolehkan pihaknya menawarkan perkhidmatan digital bertaraf dunia kepada komuniti tempatan, membuka peluang untuk pertumbuhan dan pembangunan yang mampan.

 

"Kami berbangga menjadi antara pembekal digital strategik kepada kerajaan UK. 

 

"Program semasa kami bertanggungjawab untuk mempercepat dan mengurangkan risiko banyak transformasi digital dan sains data berskala nasional yang paling penting, bernilai lebih 20 bilion pound sterling kepada ekonomi UK yang kerajaan jalankan untuk mengubah perkhidmatan penjagaan kesihatan, kepolisan dan kecemasan, alam sekitar dan pengurusan tanah, pengangkutan, peralihan tenaga, dan sektor penglibatan rakyat," katanya. - DagangNews.com