Reneuco, Aliran Technologies bekerjasama laksana projek transformasi digital pendidikan awal kanak-kanak Tabika Kemas | DagangNews Skip to main content

Reneuco, Aliran Technologies bekerjasama laksana projek transformasi digital pendidikan awal kanak-kanak Tabika Kemas

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Jan - Reneuco Berhad menjalinkan kerjasama dengan Aliran Technologies Sdn. Bhd. bagi menggabungkan kemahiran serta kepakaran mereka bagi menjalankan projek transformasi digital pendidikan awal kanak-kanak rangkaian Tabika Kemas di bawah Program Smart Tabika Kemas (Stake).

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, kerjasama itu adalah semata-mata untuk mendapatkan projek daripada kerajaan melalui penyediaan dan penyerahaan cadangan yang diperlukan.

 

Katanya, setelah projek berjaya dianugerahkan kepada Aliran dan tertakluk kepada pelaksanaan perjanjian usaha sama (JVA) dan mereka secara prinsipnya bersetuju bahawa skop kerja adalah seperti yang ditetapkan.

 

"Setelah berjaya mendapatkan projek, Aliran bertanggungjawab menguruskan projek itu secara menyeluruh, membangunkan sistem pengurusan berpusat Stake dan membekalkan perabot untuk Tabika Kemas.

 

"Reneuco pula akan bertanggungjawab menjalankan kerja-kerja membaiki fizikal dan menaik taraf Tabika Kemas selain membekalkan perkakasan rangkaian, peranti mudah alih, komputer riba, tablet, pencetak, papan pintar dan peralatan lain yang diperlukan untuk projek seperti yang ditakrifkan kerajaan.

 

"Selain itu kumpulan juga bertanggungjawab menjalan kerja-kerja pembangunan aplikasi mudah alih dan kandungan pembangunan Stake," katanya.

 

Aktiviti kerjasama itu akan dibiayai menerusi dana yang dijana secara dalaman atau pinjaman bank oleh syarikat.

 

Kerjasama itu berkuatkuasa untuk tempoh 12 bulan atau dilanjutkan secara bertulis melalui persetujuan bersama.- DagangNews.com