Rentas daerah, makan di restoran dibolehkan di negeri Fasa 2 PPN | DagangNews Skip to main content

Rentas daerah, makan di restoran dibolehkan di negeri Fasa 2 PPN

KUALA LUMPUR 8 Ogos - Individu yang sudah menerima vaksin lengkap dan menetap di negeri Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) dibenarkan untuk melakukan perjalanan rentas daerah bermula Selasa ini.

 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata individu yang ingin melakukan perjalanan itu mesti menunjukkan sijil digital vaksinasi COVID-19 kepada petugas keselamatan di sekatan jalan yang menunjukkan mereka sudah menerima vaksinasi lengkap

 

Beliau berkata demikian ketika membuat pengumuman khas mengenai kemudahan bagi individu yang sudah menerima vaksin lengkap, yang disiarkan di stesen televisyen, hari ini.

 

Selain itu Muhyiddin berkata kerajaan juga bersetuju membenarkan aktiviti makan di kedai atau ‘dine-in’ bagi individu lengkap vaksin di negeri Fasa 2 PPN.

 

“Jika dibandingkan dengan aktiviti sosial lain, aktiviti dine-in sememangnya mempunyai risiko yang lebih tinggi. Ini kerana pelitup muka akan dibuka ketika makan dan juga ketika berbual dengan teman semeja. Ini mendedahkan individu tersebut kepada jangkitan COVID-19.

 

“Sehubungan itu, saya ingin menasihatkan orang ramai untuk dinein apabila perlu sahaja dan tidak meluangkan masa yang terlalu lama. Orang ramai juga dinasihatkan untuk take-away jika situasi mengizinkan. Pilihlah premis yang mempunyai sistem pengudaraan yang baik dan terbuka,” katanya.

 

Tambahnya pengusaha premis makanan disaran menyediakan lebih banyak ruang tempat makan di bahagian luar premis bagi pengudaraan yang lebih baik.

 

Pemilik premis kedai makan perlu memastikan mereka yang memasuki premis untuk ‘dine-in’ menunjukkan sijil digital vaksinasi COVID-19.

 

“Bagi pasangan yang telah menerima vaksinasi lengkap dan ingin membawa anak-anak berusia 17 tahun dan ke bawah untuk dine-in di premis kedai makan, pastikan anak-anak anda mematuhi SOP yang ketat,” katanya.

 

Menurut Muhyiddin kemudahan yang diumumkan itu akan mula berkuatkuasa pada Selasa, 10 Ogos 2021.

 

Setakat ini Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, dan Wilayah Persekutuan Labuan telah berjaya beralih keluar dari Fasa 1 PPN. - DagangNews.com

 

PM