KUALA LUMPUR 28 Sept. - Reservoir Link Energy Bhd. memperoleh kontrak dari Sarawak Shell Berhad/Sabah Shell Petroleum Company Limited (SSB/SSPC) bagi tempoh 3 tahun mulai 3 September 2021.
Kontrak bagi penyediaan peralatan dan perkhidmatan slickline itu diperoleh menerusi anak syarikat milik penuhnya, Reservoir Link Sdn. Bhd. yang menerima surat anugerah dari SSB/SSPC.
Di bawah kontrak tersebut, Reservoir Link akan menjadi kontraktor utama yang menyediakan peralatan dan perkhidmatan slickline apabila aktiviti telaga disiapkan yang mana adalah rig assisted dan sebagai kontraktor sokongan untuk aktiviti intervensi telaga non-rig assisted.
Skop kerja-kerja yang dijalankan termasuklah menyediakan pakej slickline zon II untuk menyokong operasi SSB/SSPC bagi telaga yang disiapkan dan aktiviti intervensi telaga secara rutin dan bukan rutin.
Pengarah Eksekutif Reservoir Link, Thien Chiet Chai dalam kenyataan berkata, dengan kepakaran mengendalikan kerja-kerja berkenaan, pihaknya yakin dapat menyediakan perkhidmatan berkualiti kepada Shell dan juga pelanggan sedia ada.
"Kami berbesar hati dengan keyakinan para pelanggan terhadap Reservoir Link selama ini.
"Sehubungan itu, kami akan terus berusaha untuk meningkatkan perkhidmatan dengan teknologi inovatif untuk terus berdaya saing dan memperkukuhkan kedudukan dalam industri ini," katanya hari ini. - DagangNews.com