Reservoir Link Energy terima LOA bagi projek loji solar bernilai RM16.7 juta di Perak | DagangNews Skip to main content

Reservoir Link Energy terima LOA bagi projek loji solar bernilai RM16.7 juta di Perak

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Sept - Reservoir Link Energy Berhad menerusi anak syarikatnya, Founder Energy Sdn. Bhd. menerima menerima surat anugerah daripada Savelite Engineering Sdn. Bhd. bagi kerja-kerja pembinaan dan pentauliahan loji solar fotovoltaik berskala besar 25MWac di Perak.

 

Menerusi kontrak bernilai RM16.7 juta itu, kumpulan itu perlu menyediakan kerja-kerja pendahuluan seperti pembinaan, pemasangan dan pentauliahan kerja-kerja infrastruktur, kejuruteraan awam selain struktur binaan.

 

Kerja-kerja itu dijangka siap pada 31 Disember 2022.

 

Pengarah Eksekutif Reservoir Link,  Thien Chiet Chai berkata, pihaknya berbesar hati untuk mengumumkan kemenangan kontrak kedua pada tahun ini untuk segmen boleh tenaga boleh diperbaharui selepas memperoleh satu daripada Atlantic Blue Sdn. Bhd. pada bulan lalu.

 

"Kemenangan berterusan itu adalah bukti kepada keyakinan terhadap perkhidmatan kami dan rekod prestasi yang kukuh yang membolehkan kami dikenali sebagai pemain terbesar dalam kejuruteraan, perolehan dan pembinaan untuk projek solar fotovoltaik di Malaysia.

 

"Berdasarkan kepada kekuatan sedia ada, kami menjangkakan lebih banyak projek akan diberikan pada masa akan datang dengan perkembangan projek solar berskala besar sedang berjalan dengan baik," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia. - DagangNews.com