Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 12 Okt. - Tiga fokus kerajaan seperti digariskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) dilihat tepat pada masanya memandangkan negara amat memerlukan pemulihan ekonomi setelah terjejas akibat pandemik COVID-19.
Menerusi pelan pembangunan bagi tempoh 2021-2025 itu, kerajaan memberi tumpuan kepada menjana semula (reset) ekonomi, memperkukuhkan keselamatan, kesejahteraan dan keterangkuman serta membangunkan kelestarian.
Ketua Ekonomi Malaysian Rating Corporation Bhd (MARC), Firdaos Rosli berkata, kejayaan membina semula ekonomi akan menyaksikan 4 pemangkin dasar meletakkan asas kepada ketahanan dan pembangunan ekonomi Malaysia dalam tempoh lebih 5 tahun dan seterusnya.
Bagaimanapun, katanya, kegagalan mengikuti pelan jangka panjang itu akan membawa kesan buruk kepada pembangunan terutama dalam era selepas pandemik dan populasi penduduk tua yang semakin meningkat.
"Dengan pembangunan dirancang di bawah RMKe-12 ini, kami melihat kerajaan tidak mensia-siakan krisis ini begitu sahaja, dan kami memuji langkah ini.
"Oleh itu, kami tidak terkejut apabila kerajaan menjadikan usaha 'reset' ekonomi sebagai tunjang utama di bawah pelan pembangunan ini, kerana ia sangat penting dan kejayaan membina semula ekonomi akan menjadi penentu kepada 2 lagi fokus kerajaan," katanya dalam laporannya hari ini.
Di bawah RMKe-12, kerajaan menjangkakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara 4.5% hingga 5% setahun berbanding 2.7% di bawah pelan pembangunan sebelum ini.
Firdaos berkata, sasaran itu boleh dilaksanakan jika Malaysia menyaksikan pemulihan ekonomi berada di landasan kukuh menjelang suku kedua 2022 dan ekonomi global tidak mengalami kelembapan dalam tempoh 2021-2025.
Dalam pada itu, katanya, sasaran kerajaan untuk meningkatkan pendapatan isi rumah kepada RM10,065 akan melonjakkan gaji minimum ketika ini kepada paras yang lebih tinggi.
"Kami juga optimis tetapi berhati-hati dengan toleransi kerajaan terhadap kadar inflasi memandangkan purata inflasi ketika RMKe-11 adalah 1.3% berbanding unjuran antara 2.5% hingga 3%.
"Memandangkan kadar pengangguran akan terus kekal tinggi sepanjang RMKe-12, kami percaya kerajaan akan mengurangkan kesan inflasi, yang mana akan menjejaskan keberkesanan pelan pembangunan ini," jelasnya.
Menurut beliau, secara keseluruhan RMKe-12 dilihat satu pelan pembangunan yang boleh dibanggakan dalam menyusun semula ketidaktentuan pembangunan Malaysia yang terjejas akibat pandemik dan ketidakstabilan politik.
Bagaimanapun, katanya, prinsip 'tidak ada sesiapa yang ketinggalan' mempunyai kekuatan dan kelemahannya tersendiri.
"Kejelasan yang lebih luas terhadap perancangan pembangunan tidak hanya diperlukan untuk membentuk kembali ekonomi pada era pasca pandemik, tetapi lebih penting lagi, untuk meningkatkan sektor swasta mengenai perkara-perkara yang akan datang.
"Sehingga kami mendapat butiran terperinci mengenai RMKe-12, kami menjangkakan sektor swasta akan kekal kurang memberangsangkan, dengan mengambil pendirian tunggu dan lihat," katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membentangkan usul RMKe-12 bagi tempoh 2021 hingga 2025 di Dewan Negara, hari ini bagi kelulusan.
Usul RMKe-12 yang memperuntukkan perbelanjaan pembangunan terbesar berjumlah RM400 bilion berbanding RM260 bilion dalam RMKe-11, adalah pelan pembangunan menyeluruh yang akan memperkenalkan beberapa pembaharuan, bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dengan pengagihan peluang dan hasil yang lebih saksama.
Hala tuju strategik RMKe-12 adalah bertemakan 'Keluarga Malaysia - Makmur, Inklusif, Mampan' merangkumi sembilan fokus utama iaitu Merancakkan Pertumbuhan Ekonomi, Memperkukuh Pemangkin Pertumbuhan, Meningkatkan Kesejahteraan Keluarga Malaysia, Memantapkan Keselamatan dan Ketenteraman Awam dan Membasmi Kemiskinan Tegar dan Merapatkan Jurang Pendapatan. - DagangNews.com