Revenue Monster peroleh pembiayaan RM30 juta untuk wujudkan ekosistem fintech holistik | DagangNews Skip to main content

Revenue Monster peroleh pembiayaan RM30 juta untuk wujudkan ekosistem fintech holistik

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 22 Sept - Syarikat teknologi kewangan, Revenue Monster Group memperoleh pembiayaan RM30 juta daripada firma ekuiti swasta, The SEA Capital dalam usaha mengukuhkan misinya untuk mewujudkan ekosistem penyelesaian fintech paling holistik Malaysia bagi mempercepatkan transformasi digital negara.

 

Selepas kejayaan pusingan pembiayaan ekuiti persendirian itu, Revenue Monster turut memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan The SEA Capital dan penyedia penyelesaian teknologi kewangan tempatan, Fullrich Malaysia (dan jenama e-dompet berlesen tempatan mereka, TaPay).

 

Kerjasama itu turut melibatkan pembangun perisian, Allied Protocol untuk membina ekosistem fintech B2B dan B2G2C yang lebih maju yang terdiri daripada penyelesaian pembayaran hujung ke hujung daripada Point-of-Sale (PoS) kepada lesen e-dompet.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Revenue Monster, Lim Kar Aik berkata, dengan penstrukturan semula baru-baru ini dan pusingan kedua pembiayaan daripada pelabur ekuiti swasta The SEA Capital, kumpulan itu telah menyepadukan kekuatan lebih besar dalam industri teknologi kewangan.

 

Beliau berkata, ia bagi menyediakan penyelesaian pendigitalan tersuai mengikut skala dan keperluan perniagaan seperti mengagregatkan perkhidmatan pedagang dan pembayaran mudah alih, membolehkan perdagangan Dalam Talian ke Luar Talian (O2O), analisis data latar belakang serta pengoptimuman pemasaran.

 

"Kumpulan kami juga telah bekerja secara aktif dengan industri tradisional untuk mencapai transformasi digital. Baru-baru ini, kami sedang membina Komuniti Pintar dengan pemaju hartanah terkenal yang mana kami membangunkan rumah pintar serta menyediakan penduduk pengalaman hidup yang lebih baik. 

 

"Segala-galanya dipermudahkan dengan aplikasi mudah alih, tidak lupa juga pengurangan kos pengurusan dan kecekapan perkhidmatan yang bertambah baik. Visi kami juga sejajar dengan inisiatif pembangunan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, menerajui dan membudayakan pertumbuhan bandar pintar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

 

rm

 

 

MoU itu akan bertindak sebagai tonggak kukuh dalam rancangan berterusan Revenue Monster untuk membina aplikasi super sejati dalam ruang fintech yang menampung dan memenuhi spektrum penuh perkhidmatan dan penyelesaian dalam industri.

 

Pengasas Fullrich Malaysia, Sun Jian Wei pula berkata, melalui penyelesaian dompet digital label putihnya, unit kerajaan, kumpulan korporat, peniaga francais, kampus sekolah dan ramai lagi boleh mencipta jenama e-dompet mereka sendiri, mengurus secara holistik. 

 

"Semua senario, merealisasikan kesalinghubungan dan menjadikan semua maklumat aktiviti dan pembayaran dapat dikesan. Ini boleh membantu mewujudkan ekosistem data besar gelung tertutup yang berharga, memperkasakan lebih banyak perniagaan untuk mencapai transformasi digital dengan mudah," katanya. - DagangNews.com