RHB, Axiata bergabung mohon lesen bank digital | DagangNews Skip to main content

RHB, Axiata bergabung mohon lesen bank digital

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 2 Jun - Axiata Group Bhd. menerusi anak syarikatnya, Boost Holdings Sdn. Bhd. bersama RHB Bank akan membentuk konsortium bagi memohon lesen bank digital seperti ditetapkan di bawah kerangka kerja Bank Negara Malaysia (BNM).   

 

Dalam kenyataan bersama hari ini, kedua-dua pihak berpendapat kerjasama ini sebagai platform yang kukuh untuk memacu inovasi, meningkatkan daya saing dan mempercepatkan transformasi digital negara dan aspirasi inklusif kewangan.

 

Menerusi konsortium itu, Boost akan memiliki pegangan majoriti 60% manakala RHB sebanyak 40% dalam bank digital berkenaan, tertakluk kepada kelulusan BNM.

 

Kedua-dua pihak menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bagi meneroka potensi peluang untuk memberi pengalaman pengguna dan rangkaian penyelesaian bersama yang lebih baik untuk pelanggan masing-masing.

 

Di samping itu, kerjasama itu juga bagi meningkatkan ekosistem pelanggan mereka dengan menawarkan gabungan penyelesaian digital untuk dipersetujui bersama dan untuk meneroka peluang lain yang dianggap sesuai.

 

Menurut mereka, tempoh perjanjian itu adalah selama 2 tahun dengan tarikh permulaan pada Rabu.  

 

 

RHB Bank

 

 

Mengenai bank digital ini, RHB melihat ia sebagai lanjutan kepada program transformasi digital yang merupakan komponen teras strategi FIT22.

 

Celcom Axiata Berhad pula mendaftar sebagai rakan niaga utama dalam aktiviti Go To Market bank digital bagi produk dan perkhidmatan yang akan memberi manfaat kepada pelanggan bagi kedua-dua pihak. 

 

Bagaimanapun, rakan kerjasama komersial lain sedang dimuktamadkan dan akan diumumkan pada waktunya.

 

Pihak-pihak terlibat akan berusaha untuk memperluaskan pengalaman fintech Boost yang dibangunkan melalui Aspirasi, penyedia pembiayaan mikro digital dan insurans mikro dan Boost e-Wallet, 3 aplikasi e-dompet dan gaya hidup.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RHB, Datuk Khairussaleh Ramli berkata, MoU itu menyediakan asas untuk RHB dan Axiata meneroka peluang kerjasama yang lebih meluas di negara yang mereka saling beroperasi.

 

Katanya, bidaan bersama untuk memperoleh lesen bank digital ini menunjukkan komitmen mereka untuk membina penyelesaian terbaik untuk para pelanggan di setiap segmen dan bekerjasama dengan pihak-pihak yang dapat memberi nilai kepada penawaran menyeluruh.

 

"Ini termasuklah integrasi berterusan ekosistem pelanggan sedia ada antara RHB dan Axiata (Boost e-Wallet, Aspirasi, Celcom) ke arah penyelesaian kerjasama, keterhubungan dan kemudahan yang lebih baik untuk semua pelanggan kami," katanya.

 

 

Axiata

 

 

Turut mengulas mengenai kerjasama itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Axiata, Datuk Izzaddin Idris berkata, melalui perkhidmatan perbankan yang inovatif, cekap dan selamat, pihaknya yakin kerjasama strategik itu akan memenuhi permintaan segmen pelanggan runcit dan PKS mikro yang berkembang pesat tetapi kurang diberi tumpuan oleh institusi perbankan tradisional.

 

Menurut beliau, dalam tempoh 5 tahun lalu, Axiata telah meningkatkan usaha untuk memperkukuhkan asas objektif penyertaan kewangan. 

 

"Melalui Celcom dan platform lain seperti Aspirasi dan Boost e-Wallet, kami membuat lonjakan besar dalam penyediaan perkhidmatan kewangan digital yang inovatif dan inklusif," katanya.

 

Tambahnya, memandangkan Axiata menyuntik pengalaman fintech dan wawasan bersandarkan kepada data untuk membuka landasan baharu dalam penyertaan digital dan dilengkapi dengan pengalaman RHB, penubuhan bank digital ini akan menjadi langkah seterusnya bagi memperluas objektif transformasi digital Malaysia.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Boost Holdings, Sheyantha Abeykoon berkata, kerjasama itu mampu mewujudkan peneraju pasaran dalam menyediakan perkhidmatan kewangan kepada mereka yang kurang diberi tumpuan sektor perbankan sedia ada.

 

"Dengan kepakaran fintech Boost dan rekod cemerlang RHB, para pelanggan kami akan menikmati penyelesaian akses yang terjamin, mudah dan dipercayai dalam memenuhi keperluan kewangan mereka. 

 

"Kami berharap dapat menawarkan perkhidmatan ini kepada lebih 9 juta pelanggan kami dengan nilai penawaran terbaik menerusi bank digital ini," jelas beliau. - DagangNews.com